"Sebelum aku menimba ilmu di Universiti al-Azhar al-Syarif, aku termasuk dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa kahwin sangat menganggu pelajaran serta merupakan suatu penghalang yang sukar untuk diatasi bagi seorang pelajar untuk menuntut ilmu.
Tetapi, apabila aku berkahwin kira-kira dua tahun sebelum tamat pengajian, aku mula mengubah fikiran. Aku dapati kahwin adalah faktor yang paling besar dalam membantu pelajar mendapatkan fikiran yang lapang, jiwa yang tenang dan kehidupan yang indah lagi bahagia..."
Petikan kata-kata Dr Abdullah Nasih Ulwan (pengarang kitab "Tarbiyatul Awlad") ketika beliau mengulas mengenai isu pernikahan menganggu pelajaran. Sambung beliau lagi, "... Aku juga berangan-angan kalaulah aku berkahwin semenjak hari pertama aku menuntut ilmu, ia akan menjadikan fikiranku selamat dari bisikan syaitan dan jiwa yang mengganggu kehidupan seorang remaja yang bujang dan mengganggunya dalam persediaan rohani, ilmu dan akhlak."
Sheikh Salih Fauzan juga turut membantah mereka yang menyebut bahawa pernikahan adalah gangguan dalam pembelajaran. Beliau berkata :
"Apa yang dikatakan 'kahwin muda mengganggu proses menimba ilmu dan pelajaran', tidak boleh diterima. Malah, yang sebetulnya adalah sebaliknya kerana pernikahan sentiasa memberikan kelebihan sebagaimana yang telah kami sebutkan."
Pernikahan memberikan kelebihan kepada para penuntut ilmu. Kelebihan yang bagaimana?
Sheikh Salih Fauzan menerangkan, "Antaranya ketenangan, kedamaian, kepuasan jiwa dan penenang mata. Semua ini antara faktor yang membantu pelajar mendapatkan ilmu."
Beliau juga turut memberikan peringatan mengenai kesan tidak bernikah kepada para penuntut ilmu.
"Sebenarnya, tidak bernikahlah yang menghalang pelajar daripada mencapai cita-cita ilmunya. Hal ini berlaku kerana fikiran yang berserabut dan jiwa yang bergelora tidak memungkinkan untuk mereka memperolehi ilmu."
"Tetapi, apabila dia berkahwin, keadaannya menjadi tenang, jiwanya damai, dia memiliki sebuah rumah yang dia dapat bernaung di bawahnya. Dalam masa yang sama si isteri dapat bermesra-mesra selain membantu dirinya. Semua ini adalah faktor yang dapat membantu seorang penuntut ilmu menimba ilmu."
Subhanallah... serba sedikit kisah-kisah yang dikongsi oleh para ulama masa kini mengenai pernikahan di usia muda khusus ketika belajar. Semua kisah ini dipetik daripada sebuah buku yang bertajuk, "Dari Hati Kecil Kami".
Dari Hati Kecil Kami....
Merupakan karya sulung bagi seorang mahasiswa Universiti Mu'tah yang bakal bergraduasi tahun ini. Ustaz Muhammad Izzat al-Kutawi, mahasiswa Usuluddin, Universiti Mu'tah dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA) telah berjaya menerbitkan hasil karya beliau yang pertama.
Buku "Dari Hati Kecil Kami" ini memuatkan perbincangan, nasihat dan tip-tip yang berkaitan pernikahan terutama bagi mereka yang masih bergelar mahasiswa.
Di awal pembacaan buku ini, para pembaca dihidangkan dengan pelbagai isu-isu yang dasyat berkaitan masalah sosial remaja kita pada hari ini serta persoalan mengenai pernikahan sebagai solusi dalam bab "Isy, dasyatnya!".
Kemudian penulis mengulas pula mengenai perkara-perkara yang menghalang perlaksanaan pernikahan sebagai penyelesaian dalam bab "Tapi....".
Diantara masalah yang menjadi penghalang adalah rasa malu untuk memberitahu keluarga.
Sheikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya "Aqabat az-Zawaj" telah mengingatkan :
"Apakah yang membahayakan remaja jika dia berterus terang kepada bapanya dengan memberitahu bahawa dia perlu bernikah, atau berbisik memberitahu keperluannya yang penting ini? Berdosakah ia kalau melakukan seperti itu, atau ia dikira melakukan perkara mungkar?
Apakah juga membahayakan si ayah kalau berterus terang berbincang mengenai pernikahan, atau adakah dengan berbincang mengenai pernikahan ini melampaui batas-batas pendidikan dan tidak termasuk di dalam suruhan agama?"
Selain daripada itu, halangan dan kekangan yang masyhur dikalangan mahasiswa yang mahu bernikah ketika belajar adalah isu ekonomi dan kewangan.
Penulis mengulas perkara ini dengan sabda Rasulullah s.a.w. :
"Ada tiga golongan yang semuanya berhak mendapat pertolongan daripada Allah, iaitu orang yang berjuang di jalan Allah, orang yang bernikah kerana memelihara diri daripada melakukan perkara haram, dan hamba yang berusaha memerdekakan diri." [1]
Selain daripada itu, Allah s.w.t. juga telah memberi khabar gembira kepada hamba-hambaNya yang bernikah dengan niat menjaga agamanya sedangkan diri mereka miskin di dalam surah an-Nur : 32 yang bermaksud :
"...Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui".
Ibnu 'Abbas r.a. menafsirkan ayat ini, "Allah memerintahkan supaya berkahwin dan menggalakkannya. DIA juga memerintahkan hamba-hambaNya supaya menikahkan orang-orang yang merdeka dan hamba-hamba mereka serta DIA menjanjikan kekayaan kepada mereka". Beliau berkata lagi, "Jika mereka miskin, Allah akan berikan kekayaan kepada mereka dengan limpah rahmat-Nya". [2]
Allah Yang Maha Pengasih juga tidak sekadar menjanjikan kekayaan dari sudut harta, bahkan kekayaan jiwa bagi diri setiap hamba-hambaNya yang telah bernikah. Seperti mana firmanNya dalam surah ar-Rum : 21,
"Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat) Nya adalah DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
Dan penulis mengakhir dengan kata-kata Thawus [3] :
"Amal ibadah remaja itu tidak akan sempurna sehinggalah dia bernikah". [4]
Selepas mengulas dalam bab "Tapi....", penulis meneruskan dengan bab "Tiada Alasan Lagi!". Dalam bab ini, penulis membincang mengenai kesan sekiranya cadangan penulis diterima mahupun ditolak.
Pandangan ulama mazhab khususnya mazhab Syafie mengenai pernikahan ini boleh didapati dalam bab "Bukan Semuanya Sama" dan dalam bab "Tunggu Dulu!" penulis menyatakan mengenai persediaan-persediaan sebelum pernikahan.
Dan akhir sekali, penulis menyampaikan nasihat-nasihat kepada bakal suami dan isteri dalam bab "Selamat Pengantin Baru".
Alhamdulillah, D.K. pun dah selesai baca buku ni. Banyak persoalan-persoalan yang sering bermain dalam minda D.K. terjawab. Tahniah kepada penulis buku yang juga merupakan senior D.K. kerana berjaya menghasilkan buku "Dari Hati Kecil Kami".
Jadinya, setakat ini sahaja D.K. mengulas serba sedikit buku tersebut. Nak dapatkan buku ni, untuk pelajar Jordan boleh dapatkan daripada Biro Ekonomi PERMATA. Dan untuk luar Jordan.... kita boleh cerita kat email D.K. : syafiqkuis@yahoo.com
wallahu'alam....
kredit to : Rusydee Artz
nota kaki :
[1] Riwayat Tirmidzi, Nasa'i, Ibnu Majah, Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Hibban. Tirmidzi meng'hasan'kan riwayatnya. Dihasankan juga oleh al-Albani.
[2] Riwayat Thobari dalam tafsirnya.
[3] Beliau adalah Thawus bin Kaisan al-Yamani, tabi'ien besar yang sempat berguru dengan Ibnu 'Abbas, Ibnu 'Umar dan Abdullah bin 'Amr. Ibnu Hibban mengatakan : beliau termasuk dalam kalangan ahli ibadat Yaman dan penghulu tabi'ien. Beliau telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dan mustajab doanya. Rujuk : "Siyarul A'alam an-Nubala'".
[4] Riwayat Sa'id bin Manshur.
0 ulasan:
Post a Comment