“Seorang
imam, berbadan besar sedang memimpin jemaah solatnya dalam rakaat terakhir. Dan
ketika Tahiyyat Akhir, dilihat imam tersebut melaksanakan duduk Tahiyyat Akhirnya
dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kiri tidak seperti orang lain yang
meletakkan punggung di atas tanah. Lalu dilemparkan pertanyaan kepada imam
tersebut. Namun begitu, jawapan imam tersebut tidak memuaskan hatinya.”
Seseorang telah
bertanya kepada D.K. dengan memberikan situasi seperti yang disebutkan tadi.
Ya, sebagai seorang yang juga berbadan besar dan sihat, kami mengalami
kesukaran untuk menyempurnakan duduk ketika Tahiyyat Akhir dengan
meletakkan punggung di atas tanah.
Pertama, apabila
kami melakukan seperti itu, kami akan cepat mengah, tambahan pula untuk
menampung berat badan (kerana badan akan senget ke kiri dan jika tidak tahan
akan merebah), ada sesetengah makmum badan besar yang D.K. perhatikan sehingga
menggigil menahannya.
Duduk Iftirasy
( إفتراش ) & duduk Tawarruk ( تورك )
Terdapat dua jenis
duduk yang menjadi rukun di dalam solat. Yang pertama duduk antara dua sujud
dan yang kedua duduk akhir (Tahiyyat Akhir).
Duduk Tahiyyat
Awal tidak termasuk dalam rukun solat, namun begitu jika meninggalkannya,
perlu dilakukan sujud sahwi ( سجود سحو ) [1].
Sheikh
Nasiruddin al-Albani menyebut di dalam bukunya “ Sifat Shalat al-Nabi”
pada bab “Tasyahhud Awal”:
“Kemudian nabi
SAW duduk Iftirasy sepertimana yang dilakukan ketika duduk di antara dua
sujud, pada rakaat kedua seperti solat subuh dan begitu juga duduk pada Tahiyyat
Awal bagi solat 3 rakaat solat maghrib atau 4 rakaat seperti solat zohor.”[2]
Berdasarkan
kata-kata sheikh, menunjukkan baginda Rasulullah SAW melakukan duduk Iftirasy
pada rakaat terakhir bagi solat 2 rakaat, dan ketika Tahiyyat Awal bagi
solat 3 dan 4 rakaat serta duduk antara dua sujud.
Persoalannya,
bagaimana dengan Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4 rakaat? Apa yang
dimaksudkan dengan duduk Iftirasy?
Apa dia
duduk Iftirasy?
عن
عائشة قالت: (( وكان يفرش رجله اليسرى و ينصب رجله اليمنى))
Maksudnya:
Aisyah RA telah berkata: “ Beralaskan kaki kiri dan menegakkan kaki
kanan”. [3]
Duduk Iftirasy; duduk atas kaki sebelah kiri (gambar hiasan)
Imam al-Syirbini berkata: “Disunatkan pada duduk Tahiyyat Awal
dengan duduk Iftirasy, duduk di atas buku lali kirinya dan menegakkan
kaki kanannya dengan meletakkan pada hujung jari kakinya.” [4]
Sama seperti yang disebutkan oleh pengarang
kitab Al-Fiqh al-Manhaji [5].
Namun begitu di dalam hadis Abu Humayd
al-Saa’adi RA:
أنا
كنت أحفظكم لصلاة رسول الله ... وفيه: فإذا جلس في الركعتين جلس على رجله يسرى،
ونصب اليمنى، وإذا جلس في الركعة الاخرة قدم رجله اليسرى، ونصب اليمنى، وقعد على
مقعدته. [6].ـ
Maksudnya:
Aku merupakan orang yang paling memerhati solat Rasulullah SAW... Dalam hadis
tersebut beliau menceritakan: Apabila Rasulullah SAW duduk pada dua rakaat
pertama, baginda SAW duduk di atas kaki kirinya dan mendirikan kaki kanan.
Apabila baginda SAW duduk pada rakaat akhir, baginda SAW menghulurkan kaki
kirinya dan mendirikan kaki kanan sambil duduk di atas papan punggungnya [7].
Berdasarkan
hadis Abu Humayd, baginda Rasulullah SAW duduk Iftirasy pada dua rakaat
pertama namun tidak pada tahiyyat akhir. Kerana pada tahiyyat akhir, baginda
SAW telah duduk di atas punggungnya bukan di atas buku lali kirinya.
Kaedah kedua
yang baginda SAW lakukan itu (duduk di atas punggung) adalah duduk Tawarruk.
Tawarruk adalah sama seperti Iftirasy, akan tetapi dikeluarkan kaki
kirinya ke sebelah kaki kanannya dan mencantumkan punggungnya ke bumi [8].
Duduk Tawarruk; punggung cecah ke lantai (gambar hiasan)
Kedua-duanya
adalah sunat
Terdapat banyak
lagi hadis-hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut mengenai kaedah duduk
dalam solat. Namun begitu setelah D.K. teliti, D.K. dapati perbahasan mengenai
tajuk ini terletak di bawah bab “Perkara sunat dalam solat”.
Bahkan pengarang
Al-Mughni al-Muhtaj, pengarang Shahih Fiqh al-Sunnah dan
pengarang Al-Fiqh al-Manhaji, kesemuanya meletakkan perbincangan
mengenai duduk Iftirasy dan duduk Tawarruk ini di dalam bab sunat
dalam solat.
Merujuk kepada
situasi yang dilontarkan kepada D.K. awal tadi, D.K. berpendapat, tiada masalah
jika imam tersebut memilih untuk duduk Iftirasy, namun begitu dia perlu
mempunyai usaha untuk duduk Tawarruk dengan sebaik mungkin. Berdasarkan
kenyataan sheikh al-Albani yang menyatakan baginda Rasulullah SAW hanya
melakukan Iftirasy pada duduk rakaat akhir dalam solat 2 rakaat sahaja,
tidak pada solat 3 dan 4 rakaat.
Sheikh Masyhur
berkata: “Tiada masalah sama ada mahu melakukannya atau meninggalkannya,
akan tetapi beramal dengan sunnah itu lebih baik” [9].
Boleh jadikan
perkara ini sebagai satu motivasi untuk menjadi lebih sihat dan mendapat tubuh
yang cergas. Namun begitu perlu diingat, terdapat beberapa kesalahan yang
sering dilakukan berkaitan dengan duduk Tawarruk.
Sheikh Masyhur menambah,
“dibolehkan untuk duduk Tawarruk pada Tahiyyat Akhir bagi solat 3 dan 4
rakaat sekiranya perbuatan tersebut tidak menyempitkan orang yang sedang bersolat
di sebelah” [10].
Ketika melakukan
penelitian ini, D.K. hanya menggunakan beberapa buah kitab sahaja sebagai
rujukan. Antaranya:
1. Al-Mughni
al-Muhtaj karangan Imam Syamsuddin al-Syirbini.
2. Al-Fiqh
al-Manhaji karangan bersama Dr. Mustafa Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali
al-Syarbaji.
3. Sifat Shalat
al-Nabi karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani.
4. Shahih
Fiqh al-Sunnah karangan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim.
5. Al-Qaul al-Mubin
fi al-Akhta’ al-Musollin karangan Masyhur Hassan Salman
6. Kitab Fikah
Mazhab Syafie diterjemah oleh asatizah di Malaysia (rujukan untuk terjemahan).
Dengan kata
lain, jika sahabat-sahabat yang membaca mempunyai fakta yang lebih jelas sama
ada berbentuk sokongan mahupun teguran dari sumber-sumber yang lain, kongsikan
bersama dengan D.K. untuk manfaat bersama.
Makmum yang
bertanya tadi tidak berpuas hati apabila imam itu memberi alasan, jika dia
duduk Tawarruk, maka tubuh akan beralih ke kiri dan dia tidak dapat pahala
sunat mengadap kiblat.
Jangan salah
faham, mengadap kiblat bukanlah perkara yang sunat dalam solat, akan tetapi ia
merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Maknanya jika kita tidak mengadap
kiblat, maka tidak sah hukumnya solat tersebut!
Wallahu’alam...
Rujukan:
[1] Al-Mughni al-Muhtaj, Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad
al-Khatib al-Syirbini, Juz 1, Dar al-Fayha’, halaman 570.
[2] Sifat Shalat al-Nabi, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Maktabah
al-Ma’arif Li al-Nasyr Wa Tauzi’, halaman 136.
[3] Hadis riwayat Muslim (498) dan Abu Daud (768). Rujuk Shahih Fiqh
al-Sunnah, Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Maktabah Tawfiqiyyah, Juz 1,
halaman 346.
[4] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 471 & 472.
[5] Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa Khin; Dr. Mustafa al-Bugha;
‘Ali al-Syarbaji, Dar al-Qalam, Juz 1, halaman 155.
[6] Hadis riwayat Bukhari (794). Rujuk Ibid., halaman 155.
[7] Kita Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, Juz 1, halaman 187.
[8] Al-Mughni al-Muhtaj, Op. Cit., halaman 472.
[9] Al-Qaul al-Mubin fi al-Akhta’ al-Musollin, Masyhur Hassan
Salman, Dar Ibnu Qayyim, halaman 160.
[10] Ibid., halaman 160.
1 ulasan:
terima kasih untuk pengetahuan.
Post a Comment