Subhanallah, Maha Suci Allah, mengutuskan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah sebagai contoh tauladan Ummah. Dialah pengajar, dialah pendidik. Mengajar kita tentang Islam. Mendidik kita menjadi muslim.
Seindah firman Yang Maha Kuasa:
Seindah firman Yang Maha Kuasa:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (surah al-Anbiya’ : 70)
Baginda s.a.w. adalah rahmat bagi seluruh makhluk di alam ciptaan Yang Maha Esa. Peribadi baginda, keterampilan baginda, risalah yang dibawanya, semuanya menjadi mereka yang melihat, mendengar bahkan menghayati pastikan terpegun dan jatuh cinta.
Lihat bagaimana generasi para sahabat hasil didikan baginda s.a.w., mereka sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam tercinta.
Keluar Yasir yang kisahnya dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz, dibunuh semua ahli keluarganya kecuali ‘Ammar yang ditemui dalam keadaan separa sedar kerana diseksa. Pengorbanan yang tiada tara ini adalah bukti didikan nabi s.a.w. sehingga mereka dengan sukarela memperjuangkan aqidah Islamiyyah yang terpatri di dalam hati mereka.
Mungkin ada di kalangan mereka yang memusuhi Islam akan menuduh bahawa Nabi s.a.w. menggunakan para sahabat sebagai benteng untuk menyelamatkan nyawanya. Kata mudahnya seperti baginda mementingkan diri sendiri. Na’uzubillah!
Sejarah membuktikan, bahawa para sahabat ini dengan sukarela membenarkan nyawa mereka menjadi galang ganti kepada nyawa baginda s.a.w.
Di dalam peperangan Uhud, ketika tentera Islam mendapat khabar bahawa baginda s.a.w. telah syahid, maka berlakulah dialog antara para sahabat.
Anas bin Nazhar telah berkata kepada para sahabat yang telah kelihatan tidak bermaya apabila mendengar berita tersebut, “Apa yang kalian tunggu?”
Mereka menjawab, “Rasulullah s.a.w. telah terbunuh,”
Anas menjawab, “Untuk apa lagi kalian hidup setelah baginda gugur? Mari kita menyusul baginda s.a.w.!”
Kemudian dia terus maju bertempur dan bertemu dengan Sa’ad bin Mu’adz, lalu beliau ditanya, “Wahai Abu Amir, mahu ke mana?”
Anas menjawab, “Wahai Sa’ad aku mencium wangian syurga dekat Uhud.” Kemudian dia pergi dan gugur sebagai syuhada.
Dan di dalam kisah yang lain, seorang sahabat yang sedang menunggu untuk dibunuh oleh kafir Quraisy, apabila ditanya apakah beliau sanggup mengganti Muhammad di tempat beliau? Apa jawabnya?
“Biarpun Muhammad ditusuk halus duri sekalipun tidak akan aku biarkan.”
Subhanallah!
Peristiwa-peristiwa ini hanyalah secebis di antara berpuluh-puluh bahkan lebih kisah perngorbanan dan kecintaan para sahabat untuk baginda Rasulullah s.a.w.
Dan ini juga menjadi bukti bahawa mereka melakukannya secara sukarela bukan dipaksa. Sukarela kerana cinta. Ibarat sepasang kekasih, yang sentiasa mahu hidup dan mati mereka bersama.
Inilah hasil pengajaran dan pendidikan madrasah Rasulullah s.a.w.
Bagaimana pula kita?
Kita telah tahu cara untuk mencintai baginda. Jadi mengapa masih meninggalkan amalan-amalan sunnah yang sahih terus daripada baginda? Mengapa masih kekalkan adat kebiasaan nenek moyang kita? Hanya atas alasan untuk menunjukkan kecintaan kita kepada baginda, kita berbuat sesuka hati kita.
JANGAN TERPEDAYA!
Ingat, kaum jahiliyyah dan kaum-kaum yang mengingkari risalah Allah dahulu adalah mereka yang tetap berkeras dengan hujah, “INILAH YANG TELAH KAMI LAKUKAN SEJAK DARIPADA NENEK MOYANG KAMI DAHULU!”
Ayuh kita lakukan perubahan. Kita sudah tahu, dan kita kini mahu. Jadi mengapa tidak kita pilih amalan yang sahih yang juga adalah sunnah sebagai jalan memenuhi kemahuan dan kecintaan kita kepada baginda? Fikir-fikirkanlah....
“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek Kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
(surah al-A’araf: 28)
(surah al-A’araf: 28)
1 ulasan:
penulisan ini memberikan satu peringatan menarik berkenaan baginda Nabi yang kita selalu lupakan..tahniah!!!
Post a Comment