Tubuh kurus itu termenung kesedihan. Wajahnya melukis sejuta kekecewaan. Putih mengeluh. Bergenang air matanya apabila dia teringat perbuatan yang dilakukan oleh kawan-kawannya. Mujur Kuning memujuknya. Biarpun begitu, hatinya tetap merusuh.
“Inikah perjuangan yang kalian maksudkan???” jerit hati kecilnya.
Biru membentuk satu halaqah. Hijau juga begitu. Putih yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam surau al-Haq tercengang.”Mengapa dua halaqah?”
Persoalan itu tidak dihiraukan. Apa yang penting dia mahu bertadarus al-Quran bersama mereka. Lantas dia terus melabuhkan punggungnya di dalam halaqah Biru.
Tiba-tiba, salah seorang dari mereka mengangkat tangan. “Hang dah daftar belum? Maaf, member group ni hanya yang dah berdaftar sahaja ok.” Putih tercengang. Hatinya terusik tapi tidak dihiraukan. “Mengapa perlu merajuk...”
Dia melangkah ke halaqah Hijau. Dia meminta untuk diberikan ruang. Sepi.... tiada siapa yang menghiraukannya. Dia terkesima. Masa terus berlalu. Sesi bertadarus terus berjalan menuju ke hujung jalan.
Putih menyapa bahu salah seorang dihadapannya. Orang itu menoleh dengan renungan yang tajam. Dia terkedu.
“Putih!” dia menoleh. Kuning melambai-lambai memanggil. Dia segera ke sana. Ungu, Merah dan Oren juga ada. Tanpa berlengah mereka bertadarus bersama.
Selesai solat Isyak, Putih mengambil kesempatan untuk berkenalan. Dia menoleh ke belakang untuk bersalaman. Sekali lagi dia tercengang. Salamnya tidak bersambut. Yang Hijau hanya bersalaman dengan Hijau. Biru pun sama.
“Apa ni???” Bergenang air matanya. Kuning menyambut huluran salamnya. Namun itu tidak dapat mengubati luka dibenak hatinya.
Mengapa begitu? Apa salahnya kita bersalaman. Bukankah itu satu usaha untuk kita eratkan ukhwah? Apakah hanya kerana kita berbeza halaqah? Aku tidak dalam satu Halaqah bersama kalian, maka kalian menghindari dari aku?
Tadarus? Kalian katakan kalian beribadah dengan bertadarus al-Quran. Jadi bagaimana dengan kami yang tidak turut dalam mana-mana Halaqah? Kami tidak layak bertadarus bersama ke? Apakah sebenarnya definisi ibadah dari sudut pandangan kalian? Apakah definisi ukhwah yang kalian faham? Apakah tafsiran kalian tentang Jemaah?!
Di akhir masa wujud pelbagai golongan. Namun hanya satu sahaja yang tidak akan tersesat. Mereka yang tidak akan sesat selama-lamanya adalah mereka yang sentiasa berpegang dan merujuk kepada al-Quran & as-Sunnah. Tanpa keraguan bahkan padat dengan keyakinan dan penghayatan.
Rasulullah s.a.w. adalah contoh tauladan ummah, diutuskan untuk melengkapkan akhlaq umatnya. Senyuman yang diberikan meredakan resah biarpun kepada yang memusuhi baginda.
Namun senyuman yang kalian hadiahkan, mengapa sinis dan penghinaan yang kami rasakan? Atau mungkin kami tersalah sangkaan?
Astaghfirullah.... moga Allah mengampunkan kami dan kalian. Semoga Allah tetapkan kita di dalam golongan yang sentiasa bersedia menerima hidayah Allah Yang Maha Melihat apa yang ada biarpun di dalam lubuk hati manusia. Wallahu’alam....
0 ulasan:
Post a Comment