“Ipou, kau buat apa tu?”
Ipou senyap. Matanya masih tetap memandang anak sungai Jerateh yang mengalir laju. Beberapa ekor anak ikan sempat bermain-main seketika hujung ibu jari kakinya yang terjulur.
“Ipou!”
Ipou tersentak. Tubuhnya spontan berkalih ke belakang manakala tangan kanannya terus menyiku tangan yang menyergah bahunya lalu terus dihayunkan belakang penumbuk.
“Uish,” Kunang menahan belakang tumbukan itu dengan telapak tangan kirinya. Andai dibiarkan, pasti ia akan mengenai mukanya. Biarpun ia sekadar belakang telapak tangan yang digenggam.
Dia menggeleng kepala. “Ipou, Ipou..”
“Abang Kunang.”
Ipou segera bangun. Bongkah batu sungai yang licin itu tidak sedikit pun menggugah kestabilan dirinya. Selepas hampir sebulan dia cuba berdiri di atas bongkah yang hanya boleh memuatkan satu kakinya sahaja. Kini dia sudah boleh berdiri dengan teguh. Dua kakinya berkongsi atas satu permukaan yang kecil.
“Apa yang kau menungkan ha?” satu tepukan hinggap di atas kepalanya. Kunang tersengih melihat anak muda di depannya itu. Sebulan yang lalu anak muda itu sentiasa terjatuh ke dalam Sungai Jelateh yang berbatu itu. Tidak terkira luka dan kecederaan yang dia terima, tidak sedikit pun luntur semangat Ipou untuk belajar ilmu persilatan dengannya.
“Sudahlah, Mak Andak panggil makan. Katanya dia masak lauk ‘special’ untuk kau hari ini.”
Ipou mengangguk. Sepatah pun dia tidak menjawab.
************************************************
Matanya menatap hamparan langit malam. Bintang-bintang berebut memancar sinarnya mencari perhatian Ipou. Namun dia tidak tertarik. Untuk hari ini dan malam ini, segalanya tidak langsung menarik perhatiannya. Tidak langsung.
“Kenapa dengan kau hari ini Ipou?” Kunang melabuhkan punggungnya disebelah.
Tiada jawapan. Hanya bunyian cengkerik dan unggas hutan bagaikan okestra alam yang semakin rancak menjadi latar belakang keduanya malam itu. Dua pemuda, seorang yang baru sahaja melangkah remaja, dan seorang lagi berbadan tegap, lengkap sebagai pemuda berwibawa.
“Abang Kunang.”
“.......”
“Abang Kunang!” suara Ipou sedikit meninggi. Dia menoleh mencari jawapan.
“Begitulah sunnah-Nya...”
“Eh?”
“Begitulah sunnah-Nya Ipou.”
“Sunnatullah? Apa maksudnya?”
“Ya. Saat manusia mengejar harta dan kuasa. Saat manusia semakin fakir dan berduka. Saat sebahagiannya semakin kikir dan haloba. Dan di saat sebahagiannya lagi terus menangis ditindas dan tidak terbela.”
Ipou tidak menjawab.
“Pasti kau fikirkan tentang Biduk dan Kenyala kan Ipou?”
Ipou terkejut kagum. Hebat. Abang Kunang memang cukup arif untuk memahami telahan manusia disekitarnya. “Itulah pengalaman,” jawabnya apabila ditanya tentang kebolehannya itu.
“Manusia Ipou, manusia. Bila berkaitan dengan harta, kuasa dan perempuan, habis semua kesempatan dicapai. Tak kiralah halal atau haram. Menzalimi atau tidak.”
“Apa kaitannya dengan sunnatullah?”
“Kau tak tahu Ipou?”
Ipou menggeleng kepala.
Dia kagum dengan abang Kunang. Abang Kunang terkenal sebagai salah seorang pendekar muda dalam kampung Bentara. Tetapi yang membezakan dia dengan pendekar muda yang lain seperti Biduk dan Kenyala, Kunang membahagikan masa paginya untuk bekerja dan mendalami ilmu agama. Dan waktu malamnya Kunang memberi tumpuan sepenuhnya kepada ilmu mempertahankan diri yang diwarisi dari ayahnya itu.
Berbeza dengan pendekar yang lain. Selalu memperagakan kekuatan mereka dan bertarung antara satu sama lain di hadapan khalayak ramai. Seperti Biduk dan Kenyala yang sombong. Ipou amat membenci mereka berdua. Lagi-lagi keduanya itu samseng jalanan.
“Dulu, waktu abang belajar agama dengan Tok Samudera, Tok Samudera ada bercerita bagaimana Allah mentadbir kisah manusia di muka dunia.”
“Kisah manusia?”
“Ya, benar Ipou. Kisah manusia. Dari jahil kepada bijaksana. Kemudian berkuasa. Kemudian menguasai dan akhirnya timbul rasa hasad dan dengki. Bila ini berlaku terasa diri lebih tinggi, yang lain rendah tiada erti, akhirnya manusia ini menjadi zalim dan dibenci.”
Ipou tercengang mendengar. Bahasa yang digunakan ringkas dan seakan berirama.
“Kamu pernah dengar tentang Fir’aun, tentang Namrud?”
“Pernah. Ipou dengar ketika arwah Imam Rantau masih hidup dulu, dia ada bagi ceramah tentang penguasa zalim dan kejam ni.”
Kunang tersenyum. Wajah pemuda berbadan kecil itu kelihatan lebih matang dari usianya. Barangkali kerana keperitan hidup, mendewasakan mentaliti si kecil ini.
“Fir’aun itu zalim, bongkak dan takbur. Dia merasakan dirinya lebih tinggi dari semua makhluk disekitarnya. Begitu juga Namrud. Dua makhluk ini berbeza masa, namun sama sahaja konsep hidupnya.”
Mata Ipou tidak berkedip. Teliti dia mendengar setiap bait kalimah yang keluar dari mulut Kunang.
“Tapi Ipou, Allah takkan biarkan mereka hidup begitu dalam masa yang lama. Allah Maha Pengasih, biarpun Fir’aun dan Namrud itu mensyirikkan Allah, mengaku diri mereka tuhan, Allah utuskan Musa dan Ibrahim untuk mengetuk kembali cahaya fitrah mereka yang semakin samar. Allah takkan biarkan hamba-hambanya terus terpelusuk ke lembah kejahilan.”
“Kenapa pula Allah nak selamatkan mereka? Bukankah mereka zalim, tak sedar diri?”
Kunang mengusap ubun-ubun adik angkatnya itu.
“Kerana pengasihnya Allah untuk semua. Tidak kira siapapun mereka. Sezalim mana pun mereka, tak kira kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain, Allah tidak pernah meninggalkan hambanya itu keseorangan. Hanya hamba Dia sahaja yang tidak menyedari, betapa cintanya Allah kepada mereka.”
Ipou menunduk. Tersentuh mendengar bait kata-kata Kunang.
“Itulah sunnatullah Ipou. Yang zalim, disedarkan, diberi hidayah. Barangkali hari ini mereka menzalimi, mana tahu akhirnya nanti, mereka kembali mengasihi. Dan ketika itu, pastilah Allah telah menyayangi mereka. Kerana sayang Allah hanya untuk mereka yang telah diberi hidayah untuk kembali, dan mereka yang tetapkan hati mereka untuk terus kekal di sisi Illahi...”
Itulah sunnatullah. Kebatilan tidak selamanya berkuasa. Kebenaran pasti muncul jua. Bak kata hikmah, “Dapatkah kau tutup cahaya mentari? Biarpun dilindung kepulan awan, namun mentari tetap bersinar kembali.”
Begitulah resam kisah manusia, jahil pada diri, jahil mengenal Illahi. Tetapi bagi mereka yang telah mengetahui, tugas mereka untuk jadikan si jahil menyedari. Menyedari hakikat kewujudan Illahi. Tuhan Maha Berkuasa Yang Abadi.
Malam itu, satu lagi pengajaran baru buat si kecil Ipou. Hikmah Kunang memecah belengu kebencian dalam diri anak muda itu. Tiada siapa tahu hujung akhir kisah sendiri, kisah manusia yang hanya kan berhenti, pabila ruh kembali ke sisi Illahi.
Dan ketika itu.... hanya amalan menjadi bekal kekuatan dan pertahanan diri sendiri....
0 ulasan:
Post a Comment