RSS
Facebook
Twitter

6/27/2010

Amelia Farhana


Rentetan dari cerpen bersiri Secebis Hidayah 01.....

~ Amelia Farhana, aku mencintai dirimu. Semenjak kali pertama kita bertemu. ~
Jarinya pantas membuat pilihan ‘padam’. Tidak sanggup dibiarkan pesanan ringkas seperti itu bertandang lama di telefon bimbitnya.
“Siapa tu kak?” Safinah bertanya. Mereka berdua baru sahaja selesai kelas terakhir mereka. Jarak antara mahallah puteri dengan bangunan kelas mereka tidak terlalu jauh.
“Akak, akak dengar tak apa Finah tanya ni?” Safinah meninggikan sedikit suaranya apabila melihat tiada respon daripada Farhana.
“Hmm... akak dengarlah. Takda siapa pun. Kawan,” balasnya pendek. Tak penting pun untuk diambil tahu.
“Mesti Abang Edy ni. Finah tengok dia suka betul dekat akak.”
Farhana diam tidak menjawab. Usikan Safinah membuatkan dia teringat dengan peristiwa beberapa hari yang lalu.

Imbas kembali....
“Amelia, saya betul-betul suka kat awak,” Edy berterus terang.
Hampir sahaja Farhana pitam mendengar pengakuan Edy yang terlampau berterus terang. Wajahnya panas kerana malu dengan rakan-rakan yang ada bersamanya ketika itu.
Beberapa hari yang lalu, mahasiswa Pengurusan Perniagaan itu ada meluahkan perasaannya itu melalui SMS tetapi tidak dilayannya. Barangkali kerana tidak mendapat sebarang respon darinya, Edy bertekad untuk meluahkan secara terbuka.
“Apa yang awak kata ni Edy? Awak tak sihat ke?” Farhana cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Beberapa orang rakannya termasuk Safinah terpinga-pinga melihat kejadian tersebut. Seakan-akan adegan sebuah drama televisyen yang selalu mereka tonton.
“Awak tak balas pun mesej saya. Awak tahu tak, saya menunggu mesej dari awak. Ni pun bukan mudah saya buat keputusan nak berterus terang depan awak ni tau,” Edy membalas.
“Jadi kenapa susah-susah?”
Edy terpana. Dia merenung wajah gadis yang berjaya mencuri hatinya itu. Entah mengapa, sebelum ini tidak seperti itu. biarpun telah beberapa kali dia menjalankan program bersama-sama dengan Amelia Farhana. Gadis tersebut tidak pernah menggetarkan hatinya, sehinggalah minggu lepas, kali pertama dia melihat, gadis lincah tersebut bertudung menutup auratnya. Semenjak itu, hatinya terdetik untuk gadis tersebut.
“Kerana istikharah. Amelia, kerana istikharah. Hari tu saya ada buat istikharah, entah kenapa beberapa hari ini, hanya awak yang menghiasi mimpi saya,” Edy berterus terang.
“Saya yakin, Allah telah memilih awak untuk saya. Dan mimpi itulah jawapan istikharah saya itu.”
Spontan Farhana tertawa kecil. Sebegitu mudah? Bisik hatinya. Lantas dia meninggalkan lelaki tersebut tanpa membalas apa-apa. Tidak dipedulikan panggilan lelaki tersebut. Tidak dipedulikan juga kawan-kawannya yang tadinya menanti untuk makan tengahari bersama. Peristiwa itu mematikan selera makannya.
***************************
“Akak! Akak ni, dari tadi asyik mengelamun je. Teringat kat Abang Edy la ni.” Safinah menarik tangannya menghentikan perjalanan mereka ke asrama.
Farhana menoleh. Tersenyum. “Hish, ada pula. Akak tak ingat siapa-siapa la. Yang akak ingat sekarang ni, bila agaknya kita boleh sampai bilik. Dahlah tak solat Asar lagi ni.”
Safinah mencebikkan bibirnya. Dia tahu Farhana berdalih. Setiap kali apabila ditanya mengenai peristiwa tempoh hari, pasti Farhana akan berdalih. Sehingga cerita panas tersebut seakan-akan berlalu begitu sahaja.
Selepas Isyak....
“Akak...” Safinah menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hari ini hanya mereka berdua sahaja yang berjemaah bersama. Farhana jadi imamnya. Dua lagi rakan sebilik mereka mempunyai kelas selepas maghrib tadi.
“Raudhah dengan Syira habis kelas bila?” tanya Farhanah sambil memerhatikan Safinah yang sedang mengemas telekungnya.
“Pukul 10 nanti. Tapi Syira kata mereka nak keluar makan terus. Jadi lewat sikit.” Jelas Safinah.
Farhana mengangguk. “Jangan lupa ingatkan mereka. Jangan balik lewat sangat. Sebelum pukul 11.30 kena ada kat bilik tau. Dan jangan solat Isyak lewat-lewat.”
Safinah tersengih. Mereka cukup lali dengan amaran tersebut. Biarpun mahallah mereka tidak menetapkan peraturan seperti itu, tetapi itulah peraturan yang dikenakan oleh kakak senior mereka seorang ini, khas untuk bilik mereka sahaja.
“Akak, Finah nak tanya sikit boleh?”
Farhana memandang wajah adik juniornya itu. Mereka berdua amat rapat biarpun berbeza umur dan semester. Farhana pelajar kejururawatan semester akhir, sedang Safinah pelajar kejururawatan semester kedua. Dua lagi ahli bilik mereka merupakan pelajar kejururawatan semester tiga.
“Tentang apa emm?”
“Tentang Abang Edy. Kenapa akak tak layan dia? Nak kata tak hensem, hui, abang Edy tu cukup pakejnya. Walaupun bukan pelajar agama, tapi alimnya boleh tahan juga.”
Dia sudah dapat mengagak soalan tersebut pasti keluar. Gadis cilik dari Johor ini takkan berhenti selagi persoalannya tidak terjawab. Namun begitu, Farhana hanya berdiam diri. Dibiarkan Safinah menanti sambil melihat dia mengemas telekungnya. Sengaja dibuat begitu.
“Ni kenapa asyik tanya pasal Edy ni? Kalau Finah nak, Finah amik je la dia. Akak tak nak pun,” Farhana berseloroh.
“Ish akak ni, abang Edy tu nak kat akak, bukan Finah. Lagipun kak, kan abang Edy kata, dia pilih akak berdasarkan istikharah yang dia buat. Akak tak fikir ke, mana tau memang betul akak adalah untuk dia..”
Farhana tersenyum. Aku untuk dia? Semudah itu?
“Jadi Finah rasa akak kena ikutlah dengan hujah istikharah dia tu? Gitu?”
“Eh, takdalah macam tu. Finah cuma....” Safinah kebuntuan untuk melengkapkan hujahnya.
Farhana mendekati adik sebiliknya itu. Dia memegang tangan Safinah. Dia pernah terbaca, komunikasi yang diturutkan dengan sentuhan tubuh, akan menjadikan hubungan lebih akrab dan mesra.
“Safinah.... bukan semudah itu istikharah.” Dia memulakan bicara. Dia bukanlah seorang ustazah, bukan juga seorang pelajar bidang agama. Tetapi, mengenai isu istikharah ini, dia pernah terbaca dalam sebuah artikel yang ditulis oleh seorang ustaz sebelum ini.
Kata ustaz tersebut, kebanyakkan orang tersalah faham mengenai istikharah ini. Bahkan ada yang menjadikan istikharah seakan hukuman mandatori yang tidak boleh diubah. Jawapannya adalah muktamad. Dan ada juga yang menganggap, petanda istikharah itu hanyalah pada mimpi. Agaknya mereka terlupa, mimpi manusia bukanlah satu hujah yang kuat untuk membantu mereka.
“Jadi macam mana istikharah tu kak?”
“Apa yang akak tau, sememangnya, kita kalau berdepan dengan situasi yang memerlukan kita membuat pilihan, kita perlu lakukan istikharah, apatah lagi kalau ia membabitkan kehidupan kita..”
Farhana berhenti seketika. Menanti tindak balas daripada adik sebilik kesayangannya itu.
“Tetapi, kita kena faham, jawapan istikharah itu tidak tertumpu kepada mimpi sahaja. Kerana kita kena ingat, mimpi itu adalah salah satu permainan syaitan. Kekadang ia adalah tipu daya syaitan yang cuba mengambil kesempatan dengan kelemahan kita.”
“Macam mana tu kak?”
“Sebagai contoh, macam yang terjadi pada Edy. Bukan akak nak berburuk sangka dengan dia, tapi kalau kerana mimpi itu, dia sanggup mesej akak, luahkan perasaan dia, kemudian secara terbuka buat macam tu kat akak... akak rasa di sini ada salah faham tentang konsep istikharah itu sendiri.”
“Akak ni, tu la namanya ‘Gentle Man’ kak... berani.”
Farhana tergelak kecil mendengar jawapan tersebut.
“Banyaklah dia punya Gentle Man. Apa ingat akak ni takde maruah ke? Tiba-tiba serbu macam tu. Bukan ke Islam dah letak adab dan tertib. Kita ada merisik, melamar, bertunang dan nikah. Kenapa perlu macam tu? Akak masih ada ayah akak sebagai wali. Pergilah jumpa ayah akak, kalau dia yakin sangat dengan mimpi dia tu.”
Safinah tidak menjawab. Dia mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan jawapan Farhana.
“Safinah, Allah hanya akan memberi kepada hambanya pilihan yang terbaik sahaja. Pilihan yang akan membuatkan Dia redha kepada hambanya. Mana mungkin Allah akan beri pilihan yang membuatkan hati hambanya jauh daripada dia.”
“Hmm... habis tu, macam mana kita nak tau jawapan istikharah kita kak?”
“Entahlah. Akak ni student nursing dik oi, bukan student pengajian Islam,” dia bergurau. Dan gurauan itu membuatkan pahanya mendapat cubitan dari Safinah. Mukanya berkeriut menahan pedih.
“Akak ni, orang tanya betul-betul, dia main-main pulak,” Safinah menarik wajah.
“Alala, merajuk lak adik akak ni. Tu muncung tu, kalau akak sangkut dengan hanger pun boleh lepas tu.”
Safinah mencebik.
“Ok, dengar ni. Akak pun tak tahu sebenarnya. Cumanya, akak rasa, jawapan istikharah yang sebenarnya mestilah yang membuatkan diri kita tenang, dan bertambah yakin dengan Allah. Tak semestinya melalui mimpi. Sebagai contoh, kita perlu membuat pilihan, antara A atau B. Kemudian kita buat istikharah. Lepas tu, bila kita tengok A, kita rasa macam tenang je. Bila bertemu terasa segan dan malu. Kekadang kita tersipu. Bila tengok B, kita tak begitu. Bahkan, diri kita menjadi berbeza dari biasa. Kekadang seronoknya berlebihan. Bergurau, berbual dan kekadang melampau dari itu. So, petandanya mestilah A. Cuma, kekadang kita tak perasan, kita rasa B lah jawapannya. Sebab perasaan pada A itu lebih halus, dan kalau tak teliti, kita mungkin tak sedar.”
Dia tersenyum melihat gadis cilik itu berkerut dahi memikirkan perkara tersebut. Dia sendiri mengakui, agak susah nak menerang mengenai perkara tersebut. Cumanya yang boleh disimpulkan, jawapan istikharah adalah sesuatu yang tidak akan membuat kita lalai dan terleka daripada Allah. Itu pasti. Dia meyakini akan perkara tersebut. Dan yang pastinya, jawapan itu tidak hanya pada mimpi!

1 ulasan:

H. Iman said...

menarik.
terima kasih atas perkongsian:)