RSS
Facebook
Twitter

4/03/2011

Apakah Ini Wahan?

Jazmatiyyah, Dimasyq, Syria.
26/03/2011
Jam 0005


Malam ini merupakan suatu malam yang pasti tidak akan aku lupakan. Sana sini kedengaran riuh rendah suara masyarakat arab di sekitar rumahku berteriakan. Aku tidak pasti apa yang mereka teriakan, tetapi melihat gambar-gambar dan sepanduk-sepanduk yang mereka usung ke sana sini, serta maklumat yang diberitahu oleh sahabat-sahabatku, nyata mereka merupakan penyokong presiden Syria.

Mereka menaiki kereta-kereta mewah, sambil mengibarkan bendera Syria dan melaungkan kata-kata yang barangkali kata-kata semangat. Aku sendiri tidak pasti.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memastikan ketenangan mengulit hati kami. Aku bertanya dua tiga orang sahabatku, apakah perasaan mereka mengenai peristiwa ini. Nyata, sepertimana yang terlihat di wajah mereka, begitulah yang ada di hati mereka. Mereka tidak gundah, bahkan senyuman dan tawa jenaka sering menghiasi perbualan kami. Aku juga begitu. Biarpun gembar-gembur untuk Syria mengikut jejak langkah Libya dan negara yang telah bergegar dengan revolusi rakyat mereka, semakin hangat menangkap cuping telinga kami, tetapi ia tidak membuatkan hati kami galau dan runsing.

Maha Suci Allah…. Berikan ketenangan dan kekuatan kepada kami untuk berhadapan dengan ujian-Mu ini.

Solat Jumaat di Jami’ Zainal ‘Abidin hari ini diisi dengan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Mustafa Bugha dengan nada yang semangat.Beliau yang aku kenali dengan sifat lemah lembut dan penyayang, hari ini dengan suara lantang mengingatkan kami mengenai ukhwah dan kesatuan dalam keimanan. Apabila aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, aku lihat semua menumpukan sepenuh perhatian kepada beliau. Dan baru aku sedar, bahawa akulah yang sebenarnya tidak memberikan perhatian yang penuh… huhuhu, Astaghfirullah.

Tambahan pula, di dalam kuliyah Tafsir Jalalain, beliau mengulas ayat 111 dan 112 dari surah al-Haj dengan panjang lebar. Seringkali suara beliau ditekankan ketika menguraikan makna zalim dalam ayat tersebut. Membuatkan kami prihatin mengenai tafsiran kezaliman yang diungkap dalam firman Allah tersebut.

Semoga Allah menganugerahkan beliau kesihatan dan keselamatan dunia dan akhirat… amin.

Dan kemuncaknya, apabila aku melihat apa yang berlaku pada malam ini, disamping mendengar berita-berita yang dikhabarkan kepada kami, barulah aku dapat simpulkan mengapa khutbah Sheikh Mustafa Bugha tadi menyentuh isu kekuatan ukhwah berteraskan iman dan perkaitannya dengan kezaliman. Aku diam tidak berbicara. Mula terbit di hatiku dan sahabat-sahabatku kerisauan.

“Insya Allah, takda apa-apa yang berlaku. Kalaupun kita kekal di sini, betulkan niat untuk belajar. Doa pada Allah, Ya Allah, andai aku mati di sini, maka jadikan matiku itu syahid dalam menuntut ilmu.”

Aku terpegun dengan kata-kata tersebut. Melihat wajah tenang Ustaz Hanafiah, diriku mula bermonolog. Melahirkan persoalan untuk muhasabah diri. "Mengapakah begitu mudah Ustaz Hanafiah melahirkan kata bicara seperti itu?"

Masing-masing kebisuan selepas mendengar kata-kata tersebut.

“Apakah kita telah dijangkiti wahan?” spontan bibirku melahirkan kata. Memecah kesunyian yang mencengkam kami.

6 mata memandangku. Mungkin terperanjat dengan soalan tersebut. Barangkali kalau Ustaz Hanafiah masih berdiri di hadapan kami ketika itu, dia akan menjawab soalanku dengan mudah. Namun aku sebenarnya tidak mengharapkan sebarang jawapan, kerana soalan tersebut tidak memerlukan sebarang jawapan, tetapi merupakan satu persoalan untuk aku dan sahabat-sahabat bermuhasabah mengenai diri kami masing-masing.

Di saat hati kami galau apabila mendengar rusuhan dan pembunuhan yang semakin kerap berlaku di Hama, Homs, Halab, Marjih dan sekitar Jami’ Umawi. Apabila berita mengenai apa yang berlaku di Jami’ Rifa’ie yang terletak amat dekat dengan kami itu sampai ke telinga kami. Apabila insiden sebenar telah kami ketahui mengenai kejadian di Dar’a, bagaimana pihak kerajaan menangkap kanak-kanak yang masih kecil yang berusia lingkungan 10-12 tahun dan menyeksa mereka sehingga seorang dari mereka maut dan beberapa orang dari mereka dikatakan gila dan terencat akal dek kerana diseksa dengan kejam.

Kami berdiam diri. Aku bertanya pada diri, mengapakah hatiku runsing dan gelisah? Apakah aku takut yang aku akan berpisah dengan indah dunia? Apakah aku bimbang yang aku takkan bertemu lagi dengan ahli keluargaku di tanah air? Apakah…apakah…. Dan apakah….

“Apakah ini wahan? Apakah aku telah dijangkiti wahan?Apakah aku sebenarnya telah mencintai dunia sehingga aku takut untuk berhadapan dengan realiti kematian???”

Ya Allah, rahmatilah dan redhailah kami semua… ampunilah dosa kami… YaGhafur, YaRahiim….


[klik pada gambar untuk besar]


"Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?"

Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"

Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati"
[Riwayat Abu Daud]

1 ulasan:

mamariz said...

Allah bersama orang yang berjihad..menuntut ilmu juga berjihad..Semoga sahabat2x islam ana tabah disana.