Sajak Pertama
Bergetar segenap sendi
Pabila dingin air di kali
mencicipi tubuh setiap inci
Saat angkasa raya bergema
Dengan kokokan si jantan perkasa
Siak memukul beduk renta yang sedang mereput tua
Terungkai mimpi dalam lena
Tak terkalah mata dari si laknat syaitan durjana
Maka bangkit si insan lemah
Mensucikan diri, bersiap untuk mengadap Illahi
Selagi hayat dikandung badan
Selagi nyawa dikait ketat dengan iman
Doa dan tawakkal menjadi ikatan
Antara si hamba dan rencah kehidupan
Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0545
-------------------------------------
Sajak Kedua
Terhapus damai kerana takabbur
Pemegang kuasa mendamik dada
Mencarik bahagia manusia lemah
Maka meretak dan terburailah genangan kolam air mata
Bergerentaman kasar paluan peluru dan senjata
Si kecil menekup telinganya, berlari ke sana ke mari menyelamatkan nyawa
Terketar tubuhnya tatkala peluru menghiris lengan putihnya
Membuak keluar merah pekat darah
Nyaring rintihan si anak kecil yang semakin lama semakin pudar
Namun bara perjuangan pemuda tidak sekali akan pudar
Semakin dihenyak semakin terbakar jiwa penuntut merdeka
Hatta bilahan pedang dan kepala peluru tertancap di nyawa
Tidak sesekali kita berputih mata
Menagih damai yang telah tercalar
Titisan demi titisan merah darah membasahi tanah
Angkara tangan durjana pengkhianat amanah
Bangun alim ulama melempar pena, melaungkan bicara
Meminta berundur, ditegur bertafakkur,
Apakah bisa kalian menjawab di hadapan hakim Yang Maha Kuasa
Perihal damai yang telah hancur kalian ragut
dari tangan rakyat jelata?
Jazmatiyyah, Dimasyq
23 April 2011
Jam 0600
ps: Dua sajak ini terhasil di awal pagi yang dingin selepas Subuh. Tiba-tiba je rasa nak bersajak, tapi lepas selesai tak tahu nak bagi tajuk apa. Entah betul atau tidak ayat-ayat dalam sajak tu, minta ditegur dan dibetulkan. Kalau ada idea untuk tajuk dua sajak ni, boleh la letak di ruangan komen... minta tunjuk ajar sahabat semua.
Selepas Jumaat, 22/4/2011:
Kegalauan yang semakin menggila di bumi Syria telah merebak ke sekitar bandar Dimasyq. Biarpun tidak berlaku di hadapan mataku, tetapi mendengar bunyi tembakan yang berlaku di hadapan Jami' Zainal Abidin telah meragut ketenangan kami yang ketika itu sedang menuntut ilmu, mendengar kuliah Sheikh Mustafa Bugha.
Gangguan tersebut telah membuatkan kuliah pada hari itu dipendekkan masanya. Sheikh mengarahkan kami menutup pintu dan semua tingkap jami'. Beberapa orang jemaah berlari masuk ke Jami' menyelamatkan nyawa.
Khabar sampai ke telingaku, beberapa insan telah ditembak di hadapan Jami', menjawab tanda tanya mengenai bunyi letupan yang kedengaran tadi. Mudah-mudah, tiada nyawa yang terkorban pergi.
Tetapi selepas selesai semua itu, akhirnya khabar sebenar kami ketahui. Di Hajarul Aswad, berdekatan dengan kami, korban jiwa dilaporkan seramai 25 nyawa. Yang lain belum lagi diketahui.
Wallahu'alam... semoga Allah menyelamatkan bumi Syria daripada fitnah akhir zaman. Semoga Allah menyelamatkan kami dan kita semua umat islam, daripada penyakit wahan, fitnah terbesar umat akhir zaman.... amin!
0 ulasan:
Post a Comment