RSS
Facebook
Twitter

4/25/2011

Sajak-Sajak Kita....


Bunga Syria, Bunga Malaysia

Empat musim indah di Syria
Kemuncak keindahannya di musim bunga
Mekar si tulip kembang megah
Memandang padanya, jemu tidak pernah

Riang kawanan burung, gembira beterbangan
Merai hadir bunga Syria yang indah mekar
Kekupu dan Rerama mencuit, mengusik manja
kelopak tulip kuning dan mawar Syria merah,
meraih rindu, mahu memetiknya

Angin Syam sepoi menyapa
Menolak lirikan mata sampai pada bunga Syria
Indah dan mempersonakan
Tetapi hati menafikan dan menahan
Kerana bunga Malaysia sudah tertanam di dalam taman



Dalam perjalanan ke Ma'ahad Fatah Islami,
Dalam teksi,
25 April 2011
Jam 1100,



-------------------------------------------


Permainan Bahasa

Indah permainan bahasa
Di riak wajah gaya marah
Namun di bibir tenang tiada amarah
Yang mendengar terasa tegas terpana

Indah permainan bahasa
Di hati sayu, sedih dan hiba
Lahir bicaranya tenang, menenangkan jiwa
Menggamit janti tuhan Yang Maha Esa,
Bahawa DIA sentiasa bersama
Dengan hamba-Nya yang bersabar

Indah permainan bahasa
Nasihat di lafaz, tidak mencalar rasa
Menyapa pendengar penuh hikmah
Tidak terketik nafsu amarah
Pendakwah bijak dan berhikmah
Tuntutan agama


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0200


-------------------------------------------

Hikayat Murai

Hari itu berlalu
Senja jingga berlalu dan berpaling pergi
Berganti gelita hitam malam
Tanpa purnama mahupun berbintang
Si kecil Murai terpinga terpana
Panaannya bertukar menjadi sendu hiba
Empangan air mata deras mengalir
tanpa deru kerana menahan sendu

Pepohon tempat Murai bermain riang
Tempat dia dan keluarganya bersarang
Hancur dan musnah di mamah kesan perang
Murai terkulai lemah
Hanya mampu melihat mereka tertawa suka
Berseronok tatkala yang lain sengsara

Zalim manusia, mematah sayap bahagia
Pupus sudah kicauan anak kecilnya
Murai kesepian keseorangan tanpa peneman
Di tengah badai peperangan
Murai bercicipan, Datang manusia durjana
Melepaskan nafas terakhirnya

Mereka berebut kudrat dan kuasa
Biarpun nyawa yang lemah tidak berdaya
gugur sia-sia
Tetapi nikmat dunia membutakan mata

Saat nafas terakhir dijemput Izrail
Murai bertanya di hati kecil
"Kekuatan itu anugerah Tuhan
tetapi mengapa Manusia menggunakannya
umpama Syaitan!!!?"


Jazmatiyyah, Dimasyq
25 April 2011
Jam 0146

0 ulasan: