RSS
Facebook
Twitter

1/17/2012

Aku Menulis...





Sudah 3 tahun masa berlalu. Dan tahun ini merupakan tahun ke 4 saya menyelusuri bidang penulisan. Saya bukanlah seorang yang aktif menulis. Bahkan bila diperhatikan, selama 3 tahun ini, hasil penulisan saya dibandingkan hari-hari yang berlalu, sebenarnya tidak sepadan. Saya juga masih perlu banyak belajar untuk menulis. Corak penulisan saya seringkali berubah.



Adakalah saya bercerita tentang huraian hadis nabi. Kemudian beralih arah ke arah persoalan cinta. Saya cuba menulis cerpen bersiri mahupun cerpen tanpa siri. Kerana bidang ini juga telah menemukan saya dengan sahabat-sahabat blogger yang hebat dalam tulisan.



Di KUIS dulu saya bertemu dengan Akhi Jawwad Busyro dan Akhi Amir Hamzah. Merupakan dua sahabat saya yang memberi impak kepada saya untuk menulis. Sehinggakan ketika di semester akhir, saya dan akhi Amir Hamzah menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama ‘Ikatan Penulis Indipenden’ (IPI). Namun saya terputus hubungan dengan kumpulan tersebut setelah tamat pengajian di KUIS.



Dalam tempoh ‘percutian’ setelah graduasi. Hampir 3 bulan lamanya saya ‘menggila’ duduk di rumah. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan suasana hidup di kampus dan asrama, duduk di rumah membuatkan saya buntu dan bingung dari membaca dan menulis. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah di kampus yang sama.



Namun begitu, mood untuk menulis dalam diri ketika itu semakin pudar. Blog yang terpapar di laman maya semakin berhabuk dan bersawang. Hanya sesekali sahaja saya menulis artikel baru. Ketika itu saya amat tidak berpuas hati dengan hasil penulisan saya. Saya tertanya-tanya kepada diri, “Mengapa saya tidak melihat diri saya dalam penulisan saya?”



17 September 2010 saya berangkat menuju ke bumi Jordan. Universiti Mu’tah menjadi pilihan untuk menimba ilmu.



Sekali lagi minat menulis saya bergoncang. Kekurangan sumber bacaan dan kefahaman dalam pembacaan membuatkan saya tertekan. Saya menjauhkan diri dari penulisan. Saya dikelilingi oleh buku-buku yang satu ketika dahulu menjadi impian saya, tapi saat ini saya merasakan seakan mereka adalah pisau dan pedang yang menghiris-hiris diri. Kelemahan saya adalah perbezaan bahasa. Ketika itu saya tidak mampu untuk membaca buku-buku bahasa arab dengan penuh kenikmatan.





Sepanjang semester pertama, saya melaluinya dengan kemurungan. Suasana masyarakat yang berbeza. Masalah bahasa. Dan yang memberi tekanan lagi kepada saya apabila saya tak dapat meneruskan lagi kebiasaan saya ketika di Malaysia dulu iaitu memastikan di sisi saya sekurang-kurangnya satu buku bacaan ke mana sahaja saya pergi.



Sebaik sahaja tamat semester pertama, saya mengurung diri di rumah. Hanya memandang suram dengan ajakan rakan-rakan yang mengajak saya berjalan mengambil angin. Mengenali bumi Jordan yang dibanggakan.



Rupanya ada juga sahabat yang merasai perkara yang sama seperti saya. Akhirnya saya dan sahabat saya, Ustaz Fakhrul Hikmi mengambil keputusan untuk merantau ke bumi yang mencatat sejarah pengembangan ilmu Islam, bumi Syria!



25 Januari 2011, saya berdiri di sisi jalan bertentangan dengan masjid Abdur Rahman bin ‘Auf. Malam di bumi Dimasyq meriah seakan merai kehadiran kami. Selepas sehari suntuk merentasi sempadan dari Mu’tah menuju ke Dimasyq, dengan masalah yang terpaksa kami hadapi ketika melintasi sempadan. Sahabat yang sepatutnya menjadi petunjuk jalan, dihalau balik ke Jordan.



Di Syria, pandangan saya terhadap kehidupan di tanah arab berubah. Sikap arab Syria yang meraikan penuntut ilmu yang hendak belajar bahasa mereka amat menyenangkan. Saya tidak berasa malu untuk salah, berbanding di Jordan khususnya Mu’tah, saya seringkali diejek dan diketawakan oleh arab sana apabila salah atau melafazkan fushah.



Semangat untuk menulis sedikit demi sedikit tercambah. Keinginan untuk berkongsi pengalaman bersahabat dan bermesra dengan sahabat-sahabat daripada pelbagai negara di Ma’had Fatah Islami menjadi kekuatan kepada saya untuk menulis. Pengenalan saya dengan seorang sahabat, akhi Rusydan, seorang novelis muda yang baru sahaja selesai mencetak novel sulungnya di bumi Syria menaikkan semangat saya lagi untuk menulis.



Rusydan membakar semangat saya untuk merangka novel. Dan semestinya saya terbakar. Saya cuba mengutip sebanyak mana ilmu dan tips dari dia. Meskipun umurnya lebih muda daripada saya, tetapi bakat dan ilmunya, melangkaui batas umur.



Syria bergolak. Dar’a, Homs dan Hama mula bergegar dengan dentuman bom dan hujanan peluru. Ramai sahabat pulang ke Malaysia, termasuk Rusydan yang kebetulan sedang berusaha untuk menerbitkan novelnya di Malaysia pula. Kimi, sahabat yang datang ke Syria bersama saya juga telah melangkah pulang ke Jordan. Masih ada dua bulan lagi sebelum tarikh untuk saya keluar dari Syria.



Sisa-sisa umur di Syria saya manfaatkan, saya berkongsi rasa melalui penulisan. Berat hati untuk meninggalkan bumi Dimasyq. 26 Ogos 2011 saya berangkat pulang ke Malaysia. Selepas terpaksa berhadapan dengan polis dan mahkamah di Syria gara-gara visa yang mati hampir 4 bulan lamanya. Alhamdulillah, sehinggalah tiba di Malaysia, dan pulang semula ke bumi Mu’tah. Semangat untuk menulis pulih sedikit demi sedikit.



Dan hari ini, tahun 2012, tahun ke 4 semenjak kali pertama jemari menari di atas kertas. Laptop warisan ayahanda yang banyak menguji kesabaran sentiasa menjadi peneman setia saat ingin berkongsi rasa dan pengalaman. Selepas 16 hari berlalu, ini merupakan entry kedua di blog Diari Kembara (D.K.).



Di Mu'tah ini juga terdapat ramai sahabat-sahabat yang hebat menulis. Kesemua mereka memberi kekuatan kepada untuk menulis. Doakan saya.....



Sekadar mengimbau perjalanan kehidupan saya dalam dunia penulisan.



Kepada sahabat-sahabatku yang penulisan mereka menjadi pendorong : Muizzuddin, Nik Faiz, Izzat al-Kutawi dan ramai lagi. Boleh tengok senarai blogger Mu'tah di sebelah kanan blog ni.



“Sebuah penulisan itu tidak terhasil jika tiada sebarang pembacaan dilakukan.” Ini yang saya dapat rumuskan. Kita tidak dapat memberi sesuatu sekiranya kita tidak menerima. Kita tidak akan menerima sesuatu, sekiranya kita tidak mencarinya.





“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan, Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Surah al-‘Alaq : 1-5



2 ulasan:

mamariz said...

agree

D.K. said...

thanks for the agreement... =P

same2 kite berusaha untuk menghasilkan penulisan yang bermanfaat tuk sahabat-sahabat di luar sana... Insya Allah