RSS
Facebook
Twitter

1/16/2010

Aku benci dia!



Adakah dia mencintai aku? Atau dia hanya mahu mempermainkan perasaan aku?


Langit mendung kelam, kadang-kadang angin bertiup, kadang-kadang tidak. Berteleku di tepi tingkap dari tingkat 5, termenung.... dan termenung. Sesekali matanya dikerdipkan, melihat telatah manusia di bawah sana.


Heiz...keluhan dihembuskan. Fikirannya kacau. Permainan hati dan perasaan sering kali membuatkan air matanya mengalir pantas.


“Geram! Geram! Geram!” jerit hatinya. Meronta. Diketap kedua bibirnya rapat. Matanya dipejamkan. Melintas wajah itu.. Tersenyum. Air mata bertakung kembali.


Mengapakah kami tidak seperti yang lain? Kenapa begitu terseksa? Kenapa?


“Nadirah.”


Lekas-lekas dikesat air mata yang bertakung. Dia tidak mahu orang lain tahu. Diukir senyuman palsu, moga-moga dapat menutup masalah yang berlaku dalam dirinya.


“Zie. Bila kau balik?”


Soalannya tidak berjawab. Zie merenung dirinya. Kaget. Bimbang Zie menyedari apa yang berlaku.


“Kau menangis Dira?” Zie berjalan perlahan. Mengelap air mata yang masih tersisa di pipi sahabatnya itu. Mereka sebilik. Berkawan semenjak dari awal memulakan pengajian. Biarpun Nadirah lebih awal masuk ke sini. Tapi perhubungan mereka tetap rapat.


Dia mendiamkan diri. Dia tahu, memang sukar nak berahsia. Zie tahu apa yang berlaku. Biar selama mana pun dia menyimpannya, akhirnya Zie jugalah tempat dia meluahkan rasa.


“Masalah biasa ke?”


Dia mengangguk. Zie menggeleng.


“Hish, aku tak fahamlah kisah kau dengan dia tu. Orang lain bercinta juga. Tapi takdalah tiap hari menangis.”


Tiada suara. Sukar untuk dia menjelaskan pada mereka. Yang pasti, hanya dia sahaja yang tahu, betapa seksanya hati ini menanggung derita cinta. Tuhan, mengapa begitu sukar sekali cinta kami!


“Abang sayang Dira?”


“Tidak. Bahkan, abang sayang semua orang.”


“Abang tak rindu ke dekat Dira?”


“Err...dah telefon mak Dira?”


Setiap kali ditanya, pasti dia mengelak untuk menjawabnya. Dia bosan. Dia marah. Dia rasa seperti dipermainkan. Melihat rakan-rakannya setiap hari bercerita mengenai pakwe masing-masing, pasti mereka gembira. Pakwe dia rindu lah... Pakwe dia sayang lah...


Benci! Benci! Benci!


**************************************

“Aku rasa kau ni ego sangat la bro...”


Aku tersenyum. Jawapan yang ringkas, tapi belum mampu mengguris hatiku.


“Kenapa kau kata macam tu?”


“Takdalah Fiz. Nadirah tu memang betul-betul suka kat kau. Kenapa kau layan macam tu kat dia? Marah-marah. Kekadang aku dengar pun, aku sendiri naik marah dengan kau. Kasar sangat.”


Berkerut dahi Syukri menahan marah. Akhirnya terluah juga isi hatinya. Aku tersenyum. Malas nak menjawab. Ego? Ya, aku akui memang ada egonya. Mengapa? Walhal aku terkenal sebagai orang yang terbuka dan jarang terusik hati dengan orang lain.


“Eh, Syuk. Hari Ahad ni kau free tak? Tak nak join ke group Ikatan Penulis Independen tu?”


“Ish, tengok tu. Suka tukar tajuk la kau ni. Hmm... Insya Allah. Aku ingat nak pergi juga.”


Aku tergelak kecil. Biarlah. Masalah aku dan Nadirah, biar kami yang fikirkannya. Dengan Syukri, Badrul dan lain-lain, aku lebih suka berbincang mengenai hal yang lebih utama. Sebagai mahasiswa kami tak boleh leka.


“Bad kata perjumpaan tu jam 9.30 pagi kat kelas 2113. Kau jangan lupa pula.”


Syukri mengangguk-angguk malas. Dia mencapai kunci keretanya dan terus keluar. Biasalah, lepas Isyak adalah waktu kami bersantap. Tapi aku rasa malas pula nak keluar malam ini.


Beep...beep.... bunyi mesej masuk.


Lambat-lambat aku mencapai telefonku. Aku yakin pasti Nadirah yang menghantarnya.


Beep...beep... sekali lagi ia berbunyi.


“Panjang betul mesej dia kali ini.”


Ku biarkan beberapa ketika. Menanti, mana tahu ada mesej masuk lagi.


Beep...beep.... benar tekaan aku. Kali ketiga ia berbunyi.


Setelah aku yakin tiada lagi sms yang akan masuk, ku buka peti mesej ku. Tertera nama Nadirah pada ketiga-tiga mesej itu.


~ Abang.... Dira tak tahan lagi. Dira rasa seperti dipermainkan. Abang suka menyakitkan hati Dira. Abang suka marah-marah Dira. Semua abang je yang betul. Dira tak tahan lagi. Kalau abang dah benci Dira, beritahulah. Dira boleh terima. Tapi jangan buat macam ni pada Dira.... ~


Mulutku terkunci. Berulang kali mesej itu ku baca. Akhirnya ku letakkannya di sisi. Termenung seketika.


“Ya Allah, betapa terseksanya hambamu ini menjaga syariat-Mu. Berapa kali telah aku tewas dalam godaan nafsu. Namun pabila aku sedar, cuba bangkit menggapai cinta-Mu, tatkala itu juga aku tewas, kerana cinta pada makhluk ciptaan-Mu.”


Hatiku berdoa. Kupejam mataku. “Ya Allah, apakah dakwahku ini tidak berhikmah?”


Beep...beep... satu mesej lagi ku terima. Ku buka segera.


~ Muhammad Hafiz bin Mohd Razali, Nadirah benci awak!!! ~



2 ulasan:

..::بشرى::.. said...

apasal panggil abg-abg klu nak jaga...bahaye tow! kehkehkeh

nursyuhadak said...

hmm...bagus karya.teruskan yer..