Bukti daripada kefahaman peribadi ialah sesuatu perkara atau bahan yang menunjukkan kebenaran suatu kejadian. Sebagai contoh, tulisan membuktikan benarnya kewujudan penulisnya. Sebagaimana al-Quran yang menjadi bukti kebenaran risalah rasul yang melemahkan hujah para penentang yang tertipu.
“..."Bawalah kemari keterangan-keterangan Yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar”.
(surah al-Baqarah: 111)
Dalam dunia hukum dan hukuman, bukti amat diperlukan untuk menguatkan suatu kejadian. Tidak kira sama ada kebenaran mahupun kebatilan, kedua-duanya memerlukan bukti untuk mengukuhkan pendapat masing-masing. Kerana sebelum kita mengeluarkan hukum dan hukuman, wajib untuk kita memastikan dengan pasti kesahihan setiap perkara yang tampilkan.
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.”
(surah al-Hujurat: 6)
Pemberi dan penyampai mengenai hukum dan hukuman perlu peka bahawa tugas mereka bukan sekadar memberi hukum dan hukuman, tetapi juga menjelaskan mengapa dihukum dan diberi hukuman. Dan dalam situasi ini, bukti diperlukan untuk membuktikan pihak yang menerima hukum dan hukuman bukanlah pihak yang dizalimi atau dengan kata lain teraniaya.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(surah an-Nisa’: 58)
Da’ie adalah individu yang memikul tanggungjawab yang mulia untuk menyeru manusia untuk tegak berjalan di jalan yang lurus. Maka, mereka inilah yang menyeru manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa, menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan, dan meletakkan Muhammad bin Abdullah s.a.w. sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Disamping menjaga ikatan persaudaraan sesama orang yang beriman. Berhadapan dengan masyarat yang pelbagai ragam dan pemikiran, da’ie perlu kreatif dan kritis dalam berfikir untuk membuktikan bahawa apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran, bukan setakat mengatakan bahawa ini adalah benar!
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
(surah Ali-Imran: 104)
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(surah al-Mukminun: 1-3)
Pendapat, lahir daripada kepelbagaian fikrah manusia yang sekitarnya wujud jutaan corak pemikiran dan kefahaman. Daripada satu persoalan, dengan hikmah kejadian hamba Allah yang berbagai rumpun kaum, maka wujudlah berjuta corak jawapan yang dikemukakan. Tidak kira, muda, tua, miskin mahupun kaya, semua bebas berpendapat. Namun begitu wujud sesetengah kumpulan yang tidak berhikmah dalam percanggahan pendapat. Tiada keterbukaan apatah lagi perbincangan apabila berselisihan. Akhirnya, wujudlah kata caci dan menghina antara yang berbeza. Pentingnya sifat terbuka dan sentiasa menerima dan mengkaji bukti yang diusulkan ketika berbeza pendapat ini.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada merek...”
(surah al-Hujurat: 11)
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik...”
(surah an-Nahl: 125)
Ilmu dan Iman dua subjek utama yang saling berkaitan. Kunci utama dalam setiap aspek dan bidang dalam kehidupan. Ilmu tanpa Iman, ibarat kuda tanpa penunggang, begitulah sebaliknya, Iman tanpa ilmu, ibarat penunggang tanpa tunggangannya. Tetapi lumrah fitrah, ada penunggang pasti ada tunggangannya. Wujudnya Iman kerana Ilmu. Kerana usaha untuk mencapai Iman menuntut manusia mencari Ilmu. Kerana dengan Ilmu kita mengenali Yang Maha Satu. Maka tuaiannya adalah Iman yang mengarah kehidupan yang lebih sempurna.
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.”
(surah al-Mujadalah: 11)
Menuntut Ilmu, satu proses yang luas definisinya. Tidak tertumpu pada bangunan persekolahan, universiti, atau mana-mana institusi rasmi sahaja. Bahkan proses memburu ilmu ini berlaku kepada mereka yang bersedia untuk menimbanya. Seperti mana yang tertulis dalam mutiara hikmah, “Apabila seseorang itu bersedia untuk belajar, maka semua perkara disekitarnya menjadi pengajar kepadanya.”
Bukti, Hukum dan hukuman, pemberi hukum dan hukuman, da’ie, Ilmu dan Iman, pendapat dan menuntut ilmu. Semua ini adalah perkara yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Mengapa?
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”
(surah al-Maidah: 3)
Sebagai seorang pendakwah (da’ie), tugas kita bukan sekadar menyampaikan bahawa Islam itu benar. Tetapi tugas utama kita adalah MENJELASKAN kebenaran Islam itu sendiri. Bagaimana untuk menjelaskannya? Pastilah ianya memerlukan bukti untuk membenarkannya. Memetik dari buku ‘Dilema Melayu-Islam, Kurang Fikir atau Kurang Zikir’, apabila dibincangkan mengenai isu akidah, bahawa Allah Maha Bijaksana dalam mentadbir alam semesta, apakah kita sebagai pendakwah, sekadar mengatakan bahawa DIA Maha Bijaksana sahaja, atau kita selitkan bersama bukti bahawa DIA sememangnya Maha Bijaksana. Sebagai contoh hikmah tersirat dalam kejadian siang dan malam, kejadian bulan dan bintang serta alam semesta ini boleh menjadi bukti kukuh kekuasaan-Nya. Ilmu Sains merupakan diantara cabang alat untuk pembuktian.
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(surah Ali Imran: 19)
Maka, seorang pendakwah, fikrah atau corak pemikiran bukan tertumpu pada satu jalan sahaja. Tetapi kita mestilah berfikir melangkaui kotak pemikiran dan kefahaman kita. Pembacaan menjadi salah satu subjek utama untuk kita menjadi seorang da’ie yang berfikiran kreatif dan kritis.
“…dan gembirakanlah orang-orang Yang beriman.”
(surah at-Taubah: 112)
Suka saya kaitkan pendakwah itu adalah penghibur atau bahasa indahnya orang seni. Gambarkan seorang seniman dalam dunia hiburan. Dia memerlukan daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi untuk menghiburkan hati peminat-peminatnya. Begitu juga seorang pendakwah. Kita perlu kreatif untuk memikirkan cara terbaik dan menarik untuk memikat hati masyarakat untuk mengahayati kebenaran dalam Islam. Oleh itu, daya imaginasi yang tinggi diperlukan untuk kita membayangkan apakah respon masyarakat andai kita menggunakan pendekatan ini dan ini. Inilah yang saya maksudkan pendakwah adalah seniman.
Seniman dalam pandangan kita pastilah tidak lari daripada hiburan. Sedangkan biasanya hiburan adalah melalaikan. Elakkan daripada disempitkan definisi hiburan itu sendiri. Apabila menyebut tentang hiburan dalam berdakwah, maka tergambar dalam pemikiran kita nasyid, drama Islami dan novel-novel yang berbentuk dakwah yang membosankan.
Maaf saya katakan, kerana pendapat saya, dalam keadaan masyarakat yang serba serbinya hiburan adalah keutamaan, saya katakan semua itu adalah membosankan. Ini kerana apabila saya melihat institusi nasyid contohnya. Tidak saya nafikan lirik lagunya menyentuh fikrah kita untuk berfikir dan muhasabah seperti lagu Mana Milik Kita (Rabbani). Tetapi, saya tidak bersetuju apabila melihat klip video atau corak persembahan (konsert) tidak menjiwai lirik yang dinyanyi (saya tidak katakan pada contoh tadi). Maaf sekali saya pinta, kerana kebanyakkan penyanyi nasyid, saya rasakan, keindahan lagu yang dinyanyikan lebih utama ditonjolkan berbanding penghayatan pada lirik nyanyian.
Konsep hiburan adalah untuk menggembirakan. Hiburan itu fitrah. Dalam masyarakat yang cintakan hiburan, seharusnya kita sebagai pendakwah, meraikannya. Ini adalah satu peluang untuk kita merapatkan diri dengan mereka. Bukan hanya fokus pada bidang-bidang kecil dalam dunia hiburan seperti mana yang diterapkan oleh musuh Islam – iaitu nyanyian, lakonan dan lain-lain- , tetapi kita cambahkan definisi hiburan ini dalam pelbagai cabang yang lebih luas. Berbalik pada konsep hiburan itu sendiri adalah menggembirakan. Bagaimana kita mampu membuatkan masyarakat terhibur untuk mendengar ilmu al-Quran dan Hadis? Bagaimana untuk mereka terhibur dengan perbahasan ilmu dan hujahnya? Bagaimana?
Secebis kisah mengenai seorang musuh Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan salah seorang pembesar kafir musyirikin yang terkorban dalam perang Badar Kubra. Namanya Walid bin Mughirah, merupakan seorang penyair yang hebat. dia amat membenci agama Rasulullah, sehingga satu hari dia menemui baginda s.a.w. yang kebetulan sedang membaca ayat al-Quran. Apabila dia mendengar alunan ayat al-Quran itu, dia terpegun. Bagi dia seorang yang memang terkenal hebat dalam bidang syair dan sastera arab ketika itu, alunan ayat dan bacaan itu sangat indah dan berjaya menggetarkan hatinya. Akhirnya dia kembali kepada kaumnya. Apabila ditanya apakah yang terjadi, dia memandang kaumnya, lantas memfitnah, “Muhammad adalah tukang sihir.”
“....berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir Yang terang nyata."
(surah Yunus: 2)
Persoalannya di sini, bagaimana kita sebagai pendakwah hendak menyedarkan bahawa hiburan terbaik adalah alunan al-Quran dan perbincangan ilmu yang mengasyikkan. Sedangkan hari ini apabila disebut sahaja majlis ilmu, maka mengalirlah air mata, bukan kerana tersentuh pada isi pengajiannya, tetapi kerana mengantuk menahan mata.
Mentaliti mencintai ilmu perlu disemai, budaya membaca perlu disebarkan dengan lebih meluas dan proaktif. Kalau sekadar kerajaan sahaja yang beriya-iya menjemput artis untuk menyanyi lagu membaca budaya kita, apa guna? Jadi kita sebagai pendakwah, sahabat, kawan, keluarga, saudara, pemimpin, penghibur perlu menggalakkan masyarakat sekitar kita untuk bersama menerapkan budaya membaca, agar mentaliti cinta ilmu ini terpahat hingga generasi akan datang.
Kembali kepada persoalan hiburan Islami, saya tidak menafikan usaha-usaha para penyanyi dakwah (penasyid) kita hari ini dalam menyedarkan masyarakat tentang Islam, juga sumbangan-sumbangan tokoh-tokoh lakonan dan novelis serta penulis yang hebat. Saya juga adalah peminat mereka. Cuma saya rasakan kita perlu lakukan pembaharuan dalam memahami hiburan itu sendiri. Melihat pada usaha-usaha saudara kita dibarat sana. Mereka menyampaikan kebenaran Islam itu dalam pelbagai cara. Contohnya Sammi Yusuf, kita boleh melihat konsep nyanyiannya yang pelbagai. Dan saya sendiri dapat menghayati lirik lagunya hanya dengan mendengar lagunya. Belum lagi meneliti liriknya. Mereka menyampaikan dengan sepenuh hati.
Itu dari sudut nyanyian. Kita juga dapat lihat usaha mereka yang pelbagai. Baba Ali dalam ruangan celotehnya di You Tube, juga usahanya menubuhkan laman web mencari jodoh bagi Muslim dan permainan Mecca to Medina yang mendapat sambutan hangat di United State. Dia juga berjaya memperkenalkan ‘Muslim Basketball Tournament’ di US sehingga mendapat perhatian masyarakat di sana. Kreatif bukan. Dia tidak memerlukan siaran television rasmi di dunia, tetapi sekadar menyiarkannya di internet untuk tatapan semua.
Hmm.... sekadar beralas kata, tulisan saya ini tidaklah memfokus pada mana-mana isu panas seperti penggunaan kalimah Allah, pembakaran gereja katholik dan sebagainya. Sekadar satu tulisan untuk mengelakkan daripada tangan ini terus kaku. Dan inilah pendapat saya. Boleh diterima, apatah ditolak. Selagi mana penolakkannya berhikmah, selagi itu pendapat ini boleh berubah.
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
(surah Fussilat: 34)
Wallahu’alam.....
0 ulasan:
Post a Comment