RSS
Facebook
Twitter

1/17/2010

Nasihat dari sahabat

sambungan Aku Benci Dia...


“Baiklah untuk makluman kamu semua. Kita Majlis Perwakilan Mahasiswa Islam diarahkan untuk membuatkan gempur maksiat dalam masa terdekat ini.”
Tempoh hari... kita bergelak tawa. Tidak ku nafikan, tatkala kita keluar bersama hari itu, kalau boleh tak mahu berenggang denganmu.
“Harapannya, dengan adanya gempuran ini, gejala dating, couple, keluar lewat malam, aurat, stoking tak pakai boleh kita kurangkan.”
Ketika makan bersamamu, sungguh aku seronok. Biarpun aku menafikannya. Biarpun soalan-soalanmu ku sambut dengan gelak tawa. Tapi aku akui, aku bahagia.
“Hafiz akan mengetuai gempur kita ini dan akan diselia oleh penasihat MPMI, Ustaz Rasyidin.”
Aku tersenyum. Sendirian. Sesekali mataku mencuri pandang pada telefon di atas meja. Aku tersenyum lagi.
“Hafiz!”
Lutfi menjerkah. Aku terkejut. Tersentak tubuhku dari lamunan indah. Semua mata memandang ke arahku. Aku malu. Lutfi menggelengkan kepala. Aku tersengih. Cover.
“Kenapa dengan kau ni? Aku tengok macam ada masalah sahaja.” Lutfi menegur. Aku tersengih. Siapa sangka, Timbalan YDP MPMI yang biasanya tegas dan sentiasa peka dalam mesyuarat, tiba-tiba hari ini boleh mengelamun.
Aku menggelengkan kepala. Senyum. “Takda apa-apa.”
“Iyeke?” keningnya terangkat sebelah mata. Tidak percaya.
Aku mengangguk berkali-kali. Lutfi berdiam diri. Dari jauh, rupanya Syuk sedang memerhati.
Aku terdiam. Memikirkan soalan-soalan yang akan dilemparkan oleh Syukri nanti.
*********************************************
Isyak telah berlalu. Selesai sudah aku laksanakan solat di bilik sahaja. Meja belajar menjadi tumpuanku. Baca buku? Hah, aku takda mood malam ni. Ku petik suis on pada komputerku. Cadangnya nak menaip artikel baru. Hmm... tajuk apa ye?
“Assalamu’alaikum...” Syukri muncul. Aku kaget.
Dia memandangku. “Kau tak pergi masjid tadi?”
Aku diam tidak menjawab. Dia menggeleng kepala lagi. Kunci kereta diletakkan di atas meja belajar di tengah bilik kami. Sememangnya meja itu dikhaskan untuk meletakkan barang-barang yang lain daripada buku-buku dan alatan belajar. Kami tidak bertegur lagi. masing-masing dengan hal masing-masing.
Aku jadi buntu untuk menaip. Keserabutan masalah, mengenai Nadirah, MPMI, program gempur maksiat, argh! Macam-macam lagi. Yang paling utama, aku rasa bersalah.
Bersalah? Kenapa aku rasa bersalah? Pada siapa aku rasa bersalah?
Aku menengkup wajahku. Aku kan student pengajian Islam. Mesti aku tahu jawapan itu. Siapa tak kenal Hafiz, Syukri dan Badrul. Tiga sahabat yang paling banyak berbeza pendapat dengan majoriti mahasiswa di sini. Isu apa yang mahu diperdebat? Cakap sahaja. Memang benar, kami memang hebat bercakap dan berdebat. Tetapi buatnya?
Ya, pada Syukri dan Badrul, mereka amat aku hormat. Mereka ke masjid. Mereka buat perkara-perkara sunat. Mudah cerita, apa yang mereka kata, mereka buat. Sedang aku?
Masjid? Huh, entah dah berapa lama kaki ku tidak ke sana. Kecuali kalau MPMI ada buat program di sana, akulah yang paling hebat ke sana. Konon, tunjuk pada ahli yang aku selalu ke rumah Allah itu.
Solat? Ha,ha,ha... kalaulah 5 minit tu boleh ku tangguh, pasti aku tangguhkan solatku. Tak pernah tepat pada waktu. Walhal, aku tahu, solat itu tiang agama. Dalil? Jangan bimbang, sudah tersemat dalam dada.
Aduh.... aku memicit-micit kepala yang tidak sakit.
Aku menoleh ke belakang. Terperanjat. Rupanya Syukri telah lama berada di belakangku. Aku tak perasan.
Syukri memegang tanganku. Menarikku untuk duduk bersama dengannya di lantai. Kami bersila. Aku terpinga. Dia diam tidak berkata.
“Apa yang kau lihat?” tiba-tiba dia bertanya. Aku terpinga. Lihat apa?
“Apa yang kau lihat pada kehidupan ini sahabatku?”
Aku terkesima. Soalan yang cukup hebat. Membuka ruang imanku untuk mengepalai proses muhasabah diri. Biarpun ianya senipis kulit bawang. Tetapi sudah cukup untuk membuat air mata mengalir di pipi. Tetapi aku tidak menangis. Aku cuba menahan. Namun hatiku telah mengecut sedih dan bersalah.
“Aku tak tahu....” mengalir air mataku. Tak tertahan.
Syukri memegang bahuku. “Mengapa kau menangis?”
“Aku rasa bersalah Syuk. Bersalah.”
“Pada siapa?”
Aku terdiam. Biarpun tubuhku tersengguk-sengguk menahan sendu.
“Pada siapa Fiz? Pada siapa?”
“Pada diriku.” Perlahan aku menjawab.
Syukri mendekatkan telinganya. Simbolik dia tidak mendengar jawapanku.
“Pada diriku, Syuk! Pada tuhan yang menciptakan aku! Pada sahabat-sahabat MPMI, sahabat-sahabat yang akan aku hadapi dan hukumkan dalam gempur maksiat nanti, pada semua. Pada semua!”
“Mengapa kau rasa bersalah?”
Sendu semakin laju. Ibarat aliran air dari puncak bukit, deras menuju ke hilir.
“Kerana....kerana aku berkata. Tapi tak pernah buat apa yang aku kata. Aku marahkan mereka, tapi hakikatnya, aku juga buat seperti mereka.”
“Kau menyesal?” ujarnya sinis.
Aku mengangguk. Aku mengangguk mengakuinya.
“Jadi?”
Aku memandang kepadanya. Aku diam tidak berkata.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Aku tertegun. Syukri, yang mengambil bidang yang sama denganku, membacakan ayat ke 53 dari surah az-Zumar.
“Apakah cukup dengan itu?”
Aku menggeleng. Ya, apakah cukup sekadar mengatakan yang aku tidak berputus asa? Tetapi perbuatan aku tidak pernah menunjukkan aku berusaha mengejar rahmat Allah.
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Aku menundukkan wajahku. Sedar dan faham apa yang cuba Syukri ketengahkan melalui ayat ke 153 surah al-Baqarah. Sesungguhnya solatlah kaedah utama yang perlu aku lakukan sebagai permulaan ke arah perubahan.
“Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.”
Ya, solat adalah kunci utama dalam perubahan peribadi ke arah yang lebih baik. Dan al-Quran pula, adalah ubat sampingan yang perlu di makan pada waktunya. Ibaratnya, solat adalah ubat utama, manakala al-Quran adalah supliment untuk menguatkan jiwa.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Ketika tiba solat fardu kepada seseorang, lantas dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya, rukuknya, maka solat itu menjadi penebus dosanya yang lalu, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar. Demikian itu yang berlaku sepanjang dia bersolat.”
(riwayat Bukhari & Muslim)
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya.”
(riwayat Muslim)
Allah.... hatiku merintih menyebut nama tuhan Yang Maha Agung.
Subhanallah.... merintih menyucikan-Nya.
Astaghfirullah.... meratap sayu memohon keampunan daripada-Nya.
Syukri membiarkan aku dalam sendu. Tidak ditegur, atau dinasihati apa-apa. Membiarkan aku tenggelam dalam duniaku ketika itu.
“Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.”
Terngiang-ngiang ayat ke 2 dan 3 dari surah as-Saf itu.
Ya Allah... ampunkanlah aku. Aku telah mengkhianati amanah yang Kau berikan kepadaku. Kau berikan aku jawatan untuk aku memimpin sahabatku, tetapi malang sekali apabila aku mengkhianati mereka. Ya Allah.... Ya Allah.... Astaghfirullah....


0 ulasan: