RSS
Facebook
Twitter

1/25/2010

K.U.I.S.

K.U.I.S.


Seorang pemuda membuka sebelah mata kanannya. Silau. Terik. Panas. Begitu garang mentari tengahari memancar. Dibuka pula matanya yang disebelah kiri. Payah, tapi diusahakan juga. Akhirnya, setelah beberapa kali mencuba, dia berjaya membuka kedua belah matanya. Nah, terbentang luas pemandangan yang indah. Diiringi bersama sejuta pengalaman yang berharga. Setapak demi setapak dia melangkah. Menuju ke garisan permulaan melakar sejarah. Di bumi K.U.I.S. dia mengukir perubahan. Segenap azam ditanam, merubah fikrah, prinsip dan idea, sekaligus mendidik diri menjadi seorang yang terbuka dalam memburu ilmu namun berprinsip di saat dia berhujah.

“Ya, datangkan seribu perkara kepadaku. Selagi mana ada bukti yang kukuh, aku akan menerimanya. Selagi al-Quran & as-Sunnah menjadi hujah, akan akan buktikan bahawa itulah kebenarannya.”

3 tahun aku lalui dengan pelbagai kenangan dan memori indah. Pelbagai perkara telahku pelajari, bukan hanya tertumpu kepada bidang pengajianku, bahkan luar konteks pembelajaran, telah ku pelajari. Alhamdulillah, sebagaimana yang aku azamkan, ketika aku menerima surat tawaran untuk meneruskan pembelajaranku di sini.

Ketika berada di tingkatan 6 rendah selama 3 bulan di S.M.K.A. Simpang Lima, aku tercengang pabila ditanya dalam kelas Syariah mengenai satu soalan yang mudah, tapi membuatkan aku kelu lidah dan mati idea. Tiba-tiba seorang rakanku yang sebelum ini hanya bersekolah di sekolah agama kerajaan negeri (maaf, bukan nak memandang rendah) menghulurkan aku satu ayat al-Quran untuk dijadikan hujah. Aku tercengang. Malu. Kerana setelah hampir 5 tahun belajar di dalam sekolah agama yang cukup terkenal dengan kejayaan akademiknya ini, aku tidak mampu berhujah menggunakan ayat al-Quran apatah lagi as-Sunnah.

Nah, kini setelah hampir 3 tahun aku di bumi K.U.I.S. ini, Alhamdulillah, biarpun belum petah dan masih banyak perlu belajar, tetapi aku yakin, lidah ku takkan kelu apabila ditanya. At least, kalau aku tak tahu, aku tak malu katakan yang aku tak tahu.

K.U.I.S. banyak memberi peluang kepada aku untuk mengenali pelbagai perkara baru, berkenalan dengan sahabat-sahabat yang banyak ragam dan corak pemikiran dan prinsipnya. Di sini juga aku mempelajari bagaimana nak mendidik diri untuk lebih terbuka dalam berbeza pendapat. Alhamdulillah.

Ketika di semester 5, prestasi akademikku menurun. Sedih. Tetapi Alhamdulillah, kerana sokongan sahabat-sahabat dan berbekalkan prinsip aku ketika itu (what you see is what you’ll get), aku memandang kejadian itu dengan cara positif. Alhamdulillah, biarpun kini aku perlu menambah satu semester lebih dari biasa, tetapi dalam semester ini (semester 7) banyak perkara baru dan positif telah aku terima.

Benarlah firman Allah dalam surah al-Taghabun ayat 11:

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Allah juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 156 & 157:

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Benarlah dalam setiap perkara yang terjadi ada hikmah disebaliknya.

Kini aku berada di ambang pengakhiran semester 7. Aku kini sedang dalam proses untuk menghabiskan kajian latihan ilmiah (diploma) ku mengenai hadis-hadis Manaqib Abu Bakar dalam bab Fadhail Sahabah kajian khusus dalam kitab Sahih al-Bukhari. Disamping bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir yang bakal tiba tak lama lagi. Semoga aku diberi kemudahan dalam subjek repeat ini.

Biarpun di awal semester ini, aku disindir dan dipandang sinis kerana hanya aku seorang sahaja dalam batch aku yang lalu perlu repeat subjek itu (subjek Manahij al-Muhadissin), tetapi aku bersyukur, kerana dengan repeatnya aku, pemahaman aku tentang subjek ini semakin jelas.

Subhanallah, Maha Suci Allah yang bijaksana dalam perancangannya. Semoga Allah memberi aku kemudahan dan petunjuk untuk terus berjaya dan giat memburu ilmu dengan berteraskan prinsipku itu.

“Selagi mana ada bukti yang kukuh, aku akan menerima setiap perkara yang tiba. Selagi al-Quran & as-Sunnah menjadi hujah, akan akan buktikan bahawa itulah kebenarannya"

Wallahua’alam....


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara...”
(surah Ali Imran: 103)


0 ulasan: