Semenjak dari stesen KL Central tadi aku memerhatikan dirinya. Dengan jubah dan purdah hitam yang menutupi wajahnya, sambil membawa beg galas kecil yang juga berwarna hitam, gelagatnya yang resah menanti komuter menjadi perhatianku.
Mataku menatap muslimah tersebut. Terasa kasihan melihat dirinya terpinga-pinga dihimpit oleh lelaki-lelaki ajnabi ketika merebut untuk masuk ke dalam koc komuter. Biasalah, waktu-waktu kemuncak seperti ini, pasti komuter penuh dengan manusia yang berhimpit hendak pulang setelah sehari suntuk memerah keringat untuk mencari nafkah.
Tetapi melihat dia tidak selesa kerana dihimpit oleh penumpang lelaki yang sememangnya tidak dapat mengelak, aku segera memanggilnya.
“Ukhti, di sini.”
Aku mempersilakan dirinya untuk berdiri di belakangku. Kebetulan tadi aku sempat merebut tempat di tepi dinding. Sekurang-kurangnya, apabila dia berdiri dibelakangku, dia tidak perlu berhimpit ditengah-tengah lautan penumpang tersebut. Tambahan pula dengan tubuh badanku yang besar, boleh menjadi tembok penghalang baginya. Hahaha, macam superhero je rasa.
Biarpun niat dihati sebenarnya hendak melihat ke luar tingkap sambil menikmati pemandangan dari dalam gerabak komuter yang bergerak ini. Namun ku hapuskan niatku itu memandangkan tugasku (menjadi tembok) dan perasan segan kerana jika aku hendak melihat ke luar bermakna aku perlu menoleh kebelakangku. Aduh….
“Kenapa tidak ke gerabak tengah?” Aku menegur tanpa menoleh.
Buat beberapa ketika, tiada jawapan dari empunya diri. Aku pun berdiam diri. Mungkin dia tak dengar.
“Maaf, awak cakap dengan saya ke?” perlahan dia bertanya. Hampir saja aku menoleh.
“Ya. Kenapa tidak ke gerabak tengah?”
“Kenapa dengan gerabak tengah?”
“Awak tak tahu? Gerabak tengah tu disediakan khas untuk muslimah.”
Diam. Barangkali dia terkejut agaknya.
“Betul?”
Aku tersenyum. Masakan aku mahu menipu. Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan koc khas untuk kaum wanita bagi laluan Pelabuhan Klang ke Sentul. Mulanya aku tak sedar. Tetapi ketika di stesen UKM dan Serdang tadi, aku perasan yang tiang dikawasan menunggu bahagian tengah di warnakan dengan merah jambu, barulah aku teringat mengenai usaha KTMB tersebut.
“Yupz, just for women and girls.” Aku menoleh sambil tersenyum. Seketika aku tersentak apabila melihat dia merenung aku. Detik waktu bagaikan terhenti apabila mata kami bertemu. Serentak dan spontan kepala menoleh kehadapan. Dan aku perasan, dia juga serentak menundukkan pandangannya.
Diam tidak berkata. Bagaikan koc yang riuh rendah dengan perbualan penumpang lain menjadi sunyi sepi bagai merai peristiwa yang berapa ketika terjadi tadi. Entah, aku tak tahu kenapa.
“Astaghfirullah…” terhembus perlahan doaku memohon keampunan. Segera sebelah tanganku meraup wajah. Simbolik dibuang jauh-jauh khayalan yang bukan-bukan.
“Stesen Subang Jaya. Stesen Subang Jaya.”
Jam ditangan menunjukkan kepada angka lima. Aduh, maknanya sudah hampir satu jam setengah aku berdiri. Dari Bangi hinggalah ke Subang Jaya. Dan aku jangkakan pastinya aku tetap berdiri sampai ke destinasiku iaitu Klang.
“Maaf, sekejap lagi saya nak turun.”
“Ah, baik.” Aku bersiap untuk memberikan laluan. Penumpang yang ramai tadi semakin berkurang. Kebanyakkan mereka keluar ketika di Subang Jaya tadi. Biarpun begitu, masih tiada tanda yang aku akan berpeluang untuk duduk.
“Turun di Batu Tiga?”
“Tak, turun dekat Shah Alam.”
Aku mengangguk.
“Lain kali jangan lupa masuk gerabak tengah. Mudah dan selamat.” Aku tersenyum. Tetapi tidak berani untuk menoleh.
“Insya Allah. Thanks for the reminder.”
“My pleasure.”
“Stesen Shah Alam. Stesen Shah Alam.”
Segera aku bergerak menuju ke pintu. Membuka laluan untuk muslimah berpurdah tersebut. Beberapa penumpang lelaki segera mengelak ke tepi, barangkali takut dilanggar oleh bodyguard sukarela yang baru dilantik ini. Hahaha….
“Terima kasih.”
Sempat dia mengucapkannya ketika melangkah keluar. Mataku bagai terlekap untuk memandang dirinya. Dan seperti aku, dia juga menanti melihat diriku. Sehingga pandangan kami berlalu, seperti mana komuter tersebut yang semakin jauh dari stesen itu.
Ya, satu kenangan yang indah buatku. Biarpun tidak dapat berkenalan dengannya, Alhamdulillah… Pasti ada hikmah. Tetapi yang pasti, itu kali pertama aku merasakan sedemikian. Pertemuan yang cukup singkat, tetapi amat mendebarkan.
Adakah ini cinta? Wallahu’alam, aku tak mahu menafsirkannya seperti itu. Hanya Allah yang tahu, dan aku berdoa agar DIA terus menjaga diriku dari kitaran godaan nafsu. Amin…
0 ulasan:
Post a Comment