RSS
Facebook
Twitter

6/22/2009

Renungkanlah I


Ketika aku sedang meneliti tafsiran al-Quran pagi tadi, mataku tertangkap pada ayat ini. Entah mengapa, tiba-tiba hatiku terasa bagai ditusuk duri berdosa. Minda kuterus menafsir ayat ini sesuai dengan situasi yang sedang aku hadapi ketika ini...

Aku ingin berkongsi... ianya hanyalah sekadar sebuah perhitungan dan pentafsiran hati dalam sesi muhasabah diri, tapi aku mahu ia dikongsi, agar semua mendapat manfaat dan mungkin dapat menasihati diriku nanti...


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.
(Surah al-A’raaf : 32)

Sejenak aku meneliti dan mentafsir, kalimah perhiasan kubayangkan pada nikmat perasaan yang Allah anugerahkan kepada kita. Perasaan itu adalah satu perhiasan yang amat mengasyikkan.

Marah, sedih, kecewa dan kasih. Pada semua itu ada satu kepuasan andai kita dapat luahkan. Kasih? Ya, aku ingin menumpukan pada perhiasan emosi yang ini. Kasih ataupun kalimah ‘famous’ ketika ini adalah CINTA!

Allah berfirman : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah Yang (berani) mengharamkan ‘perhiasan’ Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya?”

Ya, siapa yang berani menafikan perasaan cinta yang lahir secara fitrah dalam diri kita? Ianya hadir tanpa kita sedari. Tiba-tiba hati terdetik, maka kita pun menafsirkan yang kita telah kasih/cinta pada individu yang membuatkan hati ini berdetik. Adalah mustahil untuk kita menepis perasaan itu. Menafikannya bermakna kita sedang menafikan fitrah yang Allah anugerahkan, kufur nikmat namanya.

Haram bercinta bukan pada nilai emosinya, tapi pada kaedah atau metode perlaksanaan dan penghayatannya.

“...Dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya...?”

Yupz! Cinta dan kasih adalah sesuatu yang hebat. Bahkan ia satu tuntutan, kerana tanpa cinta, hancurlah insan kerana permusuhan. Pepatah ada mengatakan, “Melalui cinta kita akan mengenali Yang Maha Pencipta Cinta.”

Cinta yang baik dan halal adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Kalimah rezeki menunjukkan pada kita, cinta yang disalur pada jalan yang halal, disitu wujud kebahagiaan dan kenikmatan dalam bercinta. Dan saluran cinta sesama insan hanyalah melalui cinta kepada Allah.

Melalui cinta Allah, di situ terdapat ikatan pernikahan, ikatan persaudaraan, ikatan persahabatan dan pelbagai lagi. Dan jalinan inilah yang Allah rahmati.

...Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia.”...

Cinta satu nikmat..satu keasyikkan bagi sesiapa sahaja yang menghayatinya. Tak kira yang beriman atau tidak beriman mereka pasti dapat merasainya.

Tapi AWAS!!

“...Nikmat-nikmat itu pula hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat...”

Allah telah mengingatkan kita bahawa nikmat bercinta itu hanya kekal bagi mereka yang mentaati suruhan dan larangan Allah. Kekal hingga ke akhirat. Dan mereka yang telah menyalahgunakan nikmat itu? Sengsara dia di negara abadi nanti...

“...Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.”

Allah telah memberi tahu kepada kita akan anugerah yang hebat ini, terpulang kepada kita untuk berusaha mengekalkan anugerah tersebut hingga ke syurga... setiap keterangan dalam al-Quran adalah jelas bagi mereka yang mahu mencari dan menelitinya...


0 ulasan: