RSS
Facebook
Twitter

6/02/2009

Tamparan Hikmah...



PANG!!! Satu tamparan kuterima, mengejutkan aku dari lamunan,berdenyut-denyut sistem saraf ku memberi ransangan sakit terhadap tamparan itu. Hampir-hampir sahaja aku terduduk dek kerana terkejut dengan tamparan yang menyakitkan itu. Aduh.....

Ku perhatikan disekelilingku, terasa beribu mata sedang memandangku, ada yang sinis, ada yang bersahaja dan tak kurang juga yang memandangku dengan simpati... ada yang cuba menghulurkan tangan untuk membantuku, namun aku hanya berdiam kaku... sambil memerhati tangan-tangan itu.

Kugagahkan diri untuk kukuhkan kaki, namun terasa longlai kaki ku untuk memijak bumi, hanya kerana tamparan itu membuat aku terasa kurang keyakinan dalam diri. Apatah lagi untuk berhadapan dengan mata-mata yang memandangku dengan tanda tanya, apa yang aku telah buat sehingga aku ditampar sebegitu?

Mulutku terkunci membisu. Ego atau prinsip? Aku tak tahu. Atau....aku tidak mahu tahu? Tidak mahu mengetahui apakah kesalahan ku sehingga aku ditampar sebegitu. Sombongnya aku....

Tamparan hikmah yang lazat, atau tamparan kecelakaan yang azab? Terpulang kepada pandangan individu, tapi bagiku? Setelah beribu budi ku tabur, ini yang aku dapat? Penat lelah ke sana ke sini, demi menabur budi dan ilmu, tamparan kesakitan ini yang dihadiahkan? Terasa panas hati bergolak, merungut pada ketidakadilan ini.

“WHAT YOU GIVE YOU GET BACK!”

Jadi, mengapa ini yang aku terima? Pisang yang kuhadiahkan, lalu kulitnya dicampakkan ke mukaku. Haa... tak mahu rasanya ku teruskan pemberian yang tidak membawa pulangan ini.

Hikmah disebalik kejadian...

Begitulah monolog hatiku, disaat diri ini masih kecewa dengan tamparan sebegitu rupa. Segalanya ku tafsir dengan seribu kekesalan, keluhan dan pelbagai lagi perasaan dan alasan negatif tanpa berhenti sejenak untuk berfikir, apakah hikmah disebalik tamparan?

Renungan mataku tertangkap pada sehelai kertas, hanya keluhan kecil terlahir dari mulutku, sehelai kertas, yang disebut “examination slip”. Nyata kertas inilah tamparan yang menyakitkan itu.

Aku bagaikan tidak percaya, pointer ku merundum teruk, hingga ke angka yang aku sendiri tidak dapat gambarkan. Membuatkan aku termenung mencari punca kegagalanku itu.

Persatuan? Kelab? Program? Aktif sana sini? Apakah ini puncanya? Aku tak percaya. Kerana hampir 4 semester aku aktif seperti semester lalu, hasilnya memuaskan hatiku. Namun kali ini, membuatkan aku terlupa seketika, bahawa setiap pemberian dari-Nya, walaupun duka mahupun ceria adalah ujian untuk diriku.


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar
Surah al-Baqarah : 155


Peringatan dari Illahi melalui kitab-Nya yang Mulia ini, menyedarkan aku dari kelekaan tipuan nafsu amarah. Membawa diri kepada jiwa yang mutmainnah (tenang). Benarlah sebagaimana firman Yang Maha Mengetahui :

“(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Surah ar-Ra’d : 28

Maha Suci Allah yang mengurniakan al-Quran dengan pelbagai hikmah di dalamnya. Terasa menyesal pabila mengenang keluhan dan ungkitan yang kuluahkan sebentar tadi. Padahal setiap ujian ada hikmahnya. Dan kegagalanku ini, aku yakin ada hikmahnya.

Rasional kembali difikiran, memberi kekuatan untuk ku tempuh realiti kehidupan, gagal bukan halangan, tapi ia satu lonjakan untuk ku lakukan satu perubahan. Hakikatnya kata-kata “What You Give You Get Back” adalah benar. Kerana ‘When You’ll Get Back?’ satu persoalan yang perlu dinantikan jawapannya. Dengan kesabaran dan redha atas setiap ujian.

“Ya Allah, ampunkan dosaku atas keterlanjuranku mengungkit setiap amalanku yang lalu. Jangan Kau padamkan amalanku itu kerna keterlanjuranku. Kau Maha Pengasih dan Maha Penyayang...dan Kaulah sebaik-baik tempatku pinta pertolongan...” Amin.....

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) Yang menimpa (seseorang) melainkan Dengan izin Allah, dan sesiapa Yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa Yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah at-Taghabun : 11





P.D.C. : Setiap kejadian ada hikmahnya, setiap keburukan ada kelebihannya. Terpulang kepada diri kita untuk menafsirkan setiap peristiwa dalam kehidupan. Allah Maha Bijaksana, dan Dia tidak akan mensia-siakan setiap kejadian dan peristiwa makhluk ciptaan-Nya.

0 ulasan: