“Urgh...”
Panahan mentari pagi menyilaukan matanya. Dia lalu bangun, menggeliat menghilangkan rasa ngantuk yang masih bersarang dalam diri. Dia melihat ke arah jam di dinding.
“Hmm...baru pukul 10 pagi, awal aku bangun hari ni.”
Seperti semalam, menjadi rutin dirinya untuk bangun seawal jam 10 pagi. Duduk di rumah sewa sememangnya menyeronokkan dirinya. Tiada leteran dari mamanya. Tiada jerit pekik kemarahan papanya. Di sini, dialah raja. Balik lewat malam, bangun tidur bila-bila sahaja yang dia mahu.
Tiba-tiba handphone kepunyaannya berdering.
“Hello bro, malam tadi apa cerita. Oh... kau dapat minah tu bukan nak kongsi dengan member ek, selfish la kau ni Mar.”
Dia tersengih, teringat malam tadi ketika pulang dari pub, rakan-rakannya kenduri besar melayan seorang gadis murahan hasil kemenangannya dalam perlumbaan. Dia hanya melihat di tepi sahaja. Dia tidak pernah tergerak hati untuk mencuba perlakuan haram tersebut, di pub pun di hanya minum air bergas sahaja, arak tidak sama sekali.
“Ha,ha,ha... tu la kau tak nak follow kitorang malam tadi. Enjoy beb. Wei Zack, kau telefon aku ni apa hal?”
“Ni, tadi Sham cakap kat aku malam ni ada orang ajak race kat tempat biasa. Kau free tak malam ni?”
“Ok, aku free je. Bagi tahu pada Sham, malam ni kita party ok. Ajak awek-awek hari tu turun.”
“Ok bro, aku chow dulu. Jumpa kau malam ni Mar.”
Telefon diletakkan. Tubuhnya masih terasa lemah dan mengantuk lagi. Kalau bukan kerana perutnya yang menyanyi minta diisi, dia takkan bangun. Mahu sahaja diteruskan tidurnya tadi.
Dia terus menyarungkan t-shirt hitam yang agak ketat dan seluar jeans yang tersidai ditingkap kemudian terus memecut keluar dengan motosikalnya ke pekan. Sudah hampir 3 bulan Umar keluar dari rumahnya dan tinggal di rumah sewanya sendirian. Hidupnya penuh dengan keseronokkan. Dia bebas bersosial dengan kawan-kawannya. Biarpun begitu, dia tidak pernah memutuskan hubungan dengan papa dan mamanya. Anak tunggal keluarga Encik Abdullah itu sentiasa menghubungi mamanya. Tetapi tidak papanya, dia tidak mahu mendengar ceramah agama yang panjang lebar dari papanya.
“Assalamu’alaikum....”
Dia mendongak ke arah lelaki yang memberi salam itu. Dia baru sahaja menghabiskan kepingan roti canai yang kedua. Seleranya terganggu apabila melihat seorang pemuda dengan baju kemeja berwarna biru cair dan berkopiah berdiri di hadapannya.
“Ha, kau ni apa hal? Nak minta sedekah ke?”
Lelaki tersebut tersenyum.
“Maafkan saya, boleh saya duduk di sini sahabat?”
Matanya meliar keseluruh sudut kedai makan tersebut. Orang ramai memenuhi setiap meja di situ. Kebetulan, dia seorang sahaja yang duduk di meja tersebut.
“Hmm... duduk la. Buat macam rumah sendiri.”
Kehadiran pemuda tersebut serba sedikit menganggu dirinya yang ketika itu sedang berkhayal membayangkan hadiah mewah yang akan diterimanya malam nanti. Sekurang-kurangnya poketnya tetap berisi. Umar sememangnya terkenal dengan kehandalannya dalam berlumba di kalangan kaki rempit kawasan tersebut. Mereka menggelar dirinya ‘True Warrior’ kerana apabila dia merempit, hanya maut sahaja yang mampu menghalang.
“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”
“Ha?” spontan di memandang wajah pemuda tersebut. Pemuda tersebut tersenyum.
“Kau cakap apa tadi?”
“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”
“Apa tu?”
“Ini maksud ayat al-Quran sahabatku. Dari surah as-Syams ayat 9 dan 10.”
“Owh...” dia kembali menikmati sarapan pagi yang terganggu seketika tadi. Entah apa yang lelaki itu kata. Biarlah.
“Maafkan saya sahabat, saya beransur dulu. Terima kasih sebab bagi saya duduk di sini.” Pemuda tersebut menghulurkan salam.
“Eh, kau tak makan ke? Takkan duduk saja?”
“Saya berpuasa hari ni. Hari ini kan hari Khamis. Duduk sekejap lepaskan lelah. Saya pergi dulu ye.”
Matanya menyoroti bayangan pemuda tersebut yang semakin menjauh. Dia pelik melihat pemuda tersebut yang kelihatan tenang dan selalu tersenyum.
“Tak betul agaknya dia ni.”
**********************************************************************************
“Hello bro, kau kat mana ni? Race dah nak start dah.”
“Err... Zack, aku tak sedap hati la malam ni. Entah kenapa, aku macam malas je nak join korang semua malam ni.”
“Wei Umar, kau tak sehat ke? Tak apa lah. Aku tak kisah. Kitorang habiskan je hadiah malam ni. Ha,ha,ha..”
Telefon dimatikan. Entah mengapa malam itu dadanya berdebar-debar. Seperti akan ada sesuatu yang berlaku. Baring tak kena, duduk tak kena, berdiri, penat pula.
“Sesungguhnya telah menang orang yang membersihkan jiwanya, dan telah rugi dan kecewa bagi orang yang mengotorinya.”
Terngiang-ngiang kata-kata pemuda yang duduk di mejanya pagi tadi.
“Apa maksudnya? Kenapa hati aku asyik tertanya-tanya?”
Dia meraup muka dengan tangannya. Seketika dia terhenti. Dia melihat kedua telapak tangannya. Direnung dalam-dalam. Dua tapak tangan yang semakin gelap, tenggelam dalam kegelapan kehidupannya.
“Umar, tahu tak, nama Umar ni adalah nama seorang juara. Seorang raja yang amat hebat dan tegas dalam sejarah umat Islam.”
“Seorang raja? Siapa tu papa? Cerita lah pada Umar.”
Memorinya mengimbas kembali saat ketika dia kecil. Papanya pernah bercerita satu kisah yang amat diingatinya sehingga kini.
“Umar al-Farouk, nama sebenarnya adalah Umar al-Khattab. Dia merupakan sahabat dan juga ayah mentua kepada baginda Rasulullah s.a.w. Dia seorang yang amat tegas dan hebat dalam berprinsip.”
Papanya tersenyum melihat anaknya yang berumur 8 tahun itu duduk memasang telinga dengan bersungguh-sungguh.
“Ketika hijrah berlaku, Umar adalah orang pertama yang mengisytiharkan penghijrahannya ke Madinah secara terang-terangan. Sahabat yang lain tak berani tau. Sebab orang kafir Quraisy akan menyeksa semua orang Islam ketika itu.
“Berani betul dia kan pa. Dia tak takut kena seksa ke?”
“Tidak anakku. Tahu tak, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang keberanian Umar ni. ‘...Wahai Ibn al-Khattab! Demi DIA yang nyawaku terletak di tangan-Nya! Belum pernah syaitan mendapati kamu menggunakan satu laluan kecuali dia akan mengambil laluan yang lain.’[1]”
“Lihat anakku, betapa hebatnya Umar hinggakan syaitan pun takut untuk bertemu dengannya.”
Terlongo dia mendengarnya. Hebat sungguh Umar. Sedangkan dia nak pergi ke tandas malam-malam pun minta mamanya temankan. Kadang-kadang terbayang wajah hantu-hantu yang ditontonnya dalam filem.
“Umar anakku, sahabat nabi ini amat tegas dalam berprinsip. Dia amat garang, dan bengis dalam berprinsip. Dia tidak sama sekali memberi belas kepada sesiapa sahaja yang cuba mencabar prinsipnya.”
“Papa, apa prinsip Umar al-Khattab tu pa?”
Encik Abdullah tersenyum sekali lagi. Lalu membelai kepala anaknya yang cukup bijak dan banyak kerenah itu. Manja tapi cukup cerdas.
“Al-Quran dan as-Sunnah, itulah prinsip Umar al-Khattab. Jika ada yang cuba melanggarnya, dia tidak akan teragak-agak untuk melawan.”
“Tetapi anakku, ketika dia menjadi khalifah, dialah khalifah yang amat disayangi oleh rakyatnya. Umar tahu kenapa begitu?”
Anaknya menggelengkan kepala.
“Begitulah orang yang meletakkan redha Allah paling utama dalam hidupnya. Berprinsip kerana Allah. Biarpun terkenal dengan garang dan bengisnya al-Farouk ini, apabila tiba tentang amanah kepada rakyat, dia yang paling lembut hatinya. Pernah dia memikul seguni gandum untuk sebuah keluarga yang sedang kebuluran di hujung kota. Dia memasak gandum tersebut dan dihidangkan kepada keluarga tersebut sehingga mereka kekenyangan.”
“Lihat anakku, kelak bila anak papa ni dah dewasa, contohilah sahabat nabi ini. Jadikan redha Allah sebagai tunjang utama. Biarpun nanti papa dan mama tiada lagi, Umar tidak akan keseorangan. Kerana Allah sentiasa bersama orang yang hidupnya untuk Allah.”
Dikucupnya dahi anaknya yang baru hendak belajar erti kehidupan. Dia sentiasa berdoa agar kelak, pabila dewasa nanti, anaknya itu akan sentiasa tetap di dalam redha Allah.
Tersedu-sedu dia mengimbas kenangan yang paling manis dalam hidupnya itu. Air matanya mengalir laju di pipi. Dia menutup wajah dengan kedua tangannya.
“Papa, Umar janji, nanti bila Umar dah besar, bila papa dan mama pergi jauh dari Umar, Umar akan sentiasa ingat Allah, nanti Allah boleh selalu teman Umar kan papa?”
Lafaz janji seorang anak kecil kepada papanya. Papanya terus memeluk anaknya itu. Dari jauh mama melihat adegan dua beranak itu. Bertakung air matanya.
“Semoga kau sentiasa berada dalam hidayah Allah anakku.” Doa mama dalam hati.
Esak tangisnya semakin kuat. Mendayu-dayu. Hening malam itu, disaksikan alam yang sunyi, bersaksikan tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan, tangisan seorang hamba yang menyesal mengenang dosanya. Malam itu, dia melaluinya dengan tangisan dan penyesalan. Gambar papa dan mamanya sentiasa terlekap di dada. Umpama anak kecil, dia menyebut nama kedua papa dan mamanya. Tuhan, saksikanlah....
1 – Diriwayatkan oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari dalam sahihnya.
0 ulasan:
Post a Comment