RSS
Facebook
Twitter

4/29/2010

1st Time as Pendidik....



Riuh suara kanak-kanak bermain di dalam kelas. Dari jauh aku mendengarnya. Teringat peringatan pengetua sebentar tadi.

“Ustaz, pelajar-pelajar dalam kelas ustaz nanti kebanyakkannya terkenal nakal. Tapi, biasalah ustaz, budak-budak. Ustaz banyakkan bersabarlah ya,” Ustaz Ariffin, pengetua sekolah rendah agama Hijaz, juga merupakan sahabat baik ayahku.

Setapak demi setapak aku melangkah kelas 5 Abu Bakar. Ya, riuhnya memang dari situ. Kedengaran beberapa pelajar lelaki menjerit-jerit mengganggu pelajar perempuan.

“Aduh... apa aku nak buat ni?” bisik hati kecilku.

Buk! Seorang pelajar melanggar aku. Tanpa kusedari, rupanya aku telah berada dihadapan muka pintu kelas tersebut. Kelas menjadi sunyi. Semua memandang kepadaku.

“Maafkan saya ustaz. Saya tak sengaja.” Pelajar yang melanggarku merintih. Cepat-cepat menuju ke tempat duduknya. Aku masih tercegat di luar. Dan mereka masih memandang kepadaku.

Sesaat, dua saat.... aku tetap tercatuk di situ. Tidak bergerak walau seinci. Tetapi anak mataku telah pun menjelajah hampir setiap wajah anak-anak muridku di situ. Beberapa pelajar lelaki yang membuat bising tadi menyembunyikan wajah mereka dengan buku teks tebal.

Aku melangkah. Buat kali pertama. Pengalaman pertama. Detik pertama. Aku melangkah masuk ke sebuah kelas sebagai seorang pengajar. Seorang pengajar muda yang berwajah garang (kata orang). Tambahan pula dengan tubuhku yang besar. “Pasti gerun,” gurau Ustaz Ariffin ketika rehat tadi.

5 detik. 4 detik. 3 detik. Tetapi aku tetap membisu sambil duduk di atas kerusi guru. Salam yang diberikan kujawab dalam hati. Kelasku seisinya sunyi bagaikan rimba yang dilalui pemangsa.

“Ustaz,” pelajar yang melanggar aku tadi mengangkat tangan dan bangun.

“Maafkan saya ustaz sebab melanggar ustaz tadi,” wajahnya agak cemas. Takut barangkali dengan penampilanku.

Sunyi.

“Ustaz,” seorang lagi pelajar lelaki bangun. Penampilannya agak kemas. “Barangkali ketua kelas,” aku mengagak.

“Maafkan kami ustaz kerana membuat bising. Kami minta maaf sebab buat ustaz marah. Saya selaku ketua kelas minta maaf sesangat pada ustaz,” jelasnya.

Aku tersenyum dalam hati. Segera bangun. Ah... macam mana nak ku redakan ketengangan ni? Rimas!

“Siapa nama kamu?”

“Soleh, Ustaz” gugup.

“Kamu ketua kelas?”

“Ya ustaz.” Pendek dia membalas.

“Kamu, siapa nama kamu?” aku menoleh ke arah pelajar yang mula-mula meminta maaf.

“Err.... Rauf ustaz. Nama saya Rauf.”

“Baik. Rauf. Kenapa kamu meminta maaf kepada ustaz?”

“Aaaa... sebab saya langgar ustaz tadi,” suaranya agak gementar.

Aku tersenyum. Kupandang satu persatu wajah anak murid dihadapanku. Ya, merekalah anak muridku yang pertama. Secara rasminya. Kerana merekalah, merekalah kunci kepada langkah pertamaku dalam dunia sebagai guru.

“Mahukah kamu dengar satu cerita?” aku bertanya.

Beberapa pelajar mengangkat wajah mereka. Sedikit usahaku untuk melonggarkan keadaan. Aku rimas dengan suasana tertekan.

“Cerita apa ustaz?” Soleh bertanya.

“Tentang seorang lelaki yang lembut tutur katanya.”

“Dia digelar dengan nama Luqman al-Hakim. Tutur katanya amat lembut. Biarpun ketika menasihati orang yang lebih muda darinya.”

“Macam mana dia beri nasihat tu ustaz?” seorang pelajar perempuan menunjuk minat.

“Bagus soalan kamu. Luqman al-Hakim, setiap kali dia memberi nasihat, dia akan mulakan dengan ucapan, ‘wahai anakku..’ dan dari gaya percakapannya amat menyenangkan hati.”

Mereka mengangguk.

“Tahukah kamu tentang seorang lelaki yang amat pemaaf?

Mereka menggeleng.

“Dia amat pemurah dalam memberi maaf. Biarpun kepada orang yang sentiasa memaki hamun kepada dia. Menyakiti hatinya.”

“Saya tahu ustaz.” Pelajar lelaki yang duduk dekat dengan tingkap hujung mengangkat tangannya.

“Siapa dia?”

“Nabi Muhammad s.a.w.”

“Pandai, tak sangka anak murid ustaz hari ini semuanya pandai-pandai.”

Dia tersenyum bangga sambil menjeling-jeling rakan disebelahnya.

“Tahu tak, hari ini ustaz sangat berbangga dengan kamu semua. Biarpun hari ini merupakan kali pertama kita bertemu.”

“Kenapa ustaz?”

“Sebab kamu berani bertanggungjawab terhadap kesalahan kamu. Bukan calang-calang orang yang berani mengaku kesalahan mereka sendiri.”

Mereka diam. Ada yang berbisik dengan rakan sebelah. Ada yang menatap wajahku dengan tanda tanya, barangkali.

“Jadi, wahai pelajar-pelajar ustaz yang ustaz sayangi sekalian. Hari ini ustaz nak mencontohi Luqman al-Hakim dan Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Ustaz maafkan kalian semua. Boleh?”

“Boleh.” Jawab mereka serentak. Aku tersenyum.

Bagiku, ini permulaan yang baik. Aku akan cuba sedaya upaya untuk mendekati mereka. Kerana ini adalah kali pertama, maka aku akan buat sehabis usaha. Kerana aku bukan sahaja mahu menjadi pengajar kepada mereka, bahkan aku ingin menjadi pendidik jiwa mereka. Ini hanyalah secebis keringat yang mampu aku taburkan demi generasi muda akan datang.

Wahai anak-anakku, membesarlah kalian dibawah didikanku. Aku akan berusaha untuk menjadi seorang pendidik yang terbaik untuk kamu. Agar kelak, sebagai hadiahnya, kalian membesar menjadi seorang yang sentiasa mengejar redha Allah. Insya Allah. Ustaz doakan untuk kamu semua....


0 ulasan: