“Tak guna! Siap kau aku kerjakan!” Rahim mengetap bibirnya menahan marah.
Dadanya berombak menahan ledakan lahar kemarahan. Lengan bajunya disisih ke atas. Bingkas dia bangun membuka langkah sambil menggenggam sebuku tumbukan.
Tiba-tiba langkahnya terhenti. Tangannya dicapai seseorang. Niat amarahnya menjadi mandul dan tumpul. Wajahnya masih menahan geram ketika menoleh kepada empunya tangan yang menahan.
“Kenapa kau tahan aku?” dia mencengil.
“Kau nak ke mana?” ujarnya lembut sambil menarik Rahim untuk duduk.
“Kau tak dengar ke? Si Muka toya tu kutuk kau macam tu. Kurang ajar betul.”
Dia menghirup tenang teh o panas yang terhidang. Slow motion. Bagai sedang menikmati tiupan angin yang lembut menghembus.
“He..” dia tersengih.
Mata Rahim terbeliak melihat reaksi rakannya itu. “Macam mana kau boleh relaks je?”
“Heish, nak buat macam mana. Dah dia nak kata macam tu.” Dia menghirup lagi teh o manis kedai Pak Tam. Ahh...menyegarkan.
Rahim menggeleng kepala. Macam ni punya orang pun ada ke?
Be proactive!
Wujudkah manusia seperti itu? Dikutuk dan dihina dengan begitu teruk, tetapi reaksinya, bagaikan lalang dipukul angin, tenang meliuk-liuk mengikut alur angin yang bertiup. Hatta api pun tak dapat nak menyala dengan reaksi seperti itu apatah lagi amarah yang membara. Tercengang tak tahu nak ke mana.
Manusia yang proaktif adalah manusia yang relaks dan sempoi hidupnya. Tidak resah dengan perkara yang tidak dapat dikawalnya, tetapi sentiasa kreatif dan positif berhadapan dengan perkara yang berada di dalam tangannya.
Sean Covey menyatakan dalam bukunya ‘The 7 habits of highly effective teenagers’, perkara yang bukan dalam kawalan kita adalah perkara yang tidak dapat kita ubah walau macam mana sekalipun yang kita fikirkan.
Sebagai contoh, beliau telah berkongsi cerita mengenai seorang remaja perempuan bernama Laura. Seminggu sebelum hari pertandingan netball pasukannya, dia mendapat berita bahawa emak kepada salah seorang pemain lawannya telah meremehkan teknik permainannya. Laura menjadi tersangat marah dan telah menghabiskan masanya dengan merungut.
Ketika hari pertandingan tiba, dia telah mempamerkan prestasi permainan yang buruk dan menghabiskan masanya dibangku simpanan. Akhirnya pasukannya kalah.
Sean Covey berkata:
“She was so focused on something she couldn’t control (what was said about her) that she lost control of the only thing she could, herself.”
Open your eyes!
Dunia ini tidak tamat andai anda dikatakan teruk dan buruk. Dunia tidak kiamat hanya kerana anda gagal dalam peperiksaan. Masa depan anda tidak hancur hanya kerana cinta yang didirikan lebur. Itu bukan titik nokhtah perjuangan hidup anda!
Kita tidak dapat menutup mulut orang yang mahu mengata, tetapi kita dapat menutup mulut mereka hanya dengan membuktikan, kita bukan seperti apa yang mereka kata.
Mengapa perlu membazir masa dan tenaga untuk bertelingkah, bergaduh dan bertegang urat hanya kerana perkara yang tidak dapat kita ubah? Mengapa tidak kita kerahkan tenaga dan masa untuk perkara yang boleh kita ubah untuk menjadikan masa depan kita lebih cerah?
Bukalah matamu! Nokhtah kehidupan tidak akan muncul melainkan kau sendiri yang timbulkan. Segalanya terletak dalam dirimu. Sejauh mana kau melihat persekitaranmu, sejauh itu juga kau mencorak kehidupan dirimu.
Bak kata pepatah:
“Bagaimana cara anda melihat dunia, begitulah caranya anda menikmatinya.”
P.D.C. (Pesanan dalam catatan): Sumber rujukan adalah daripada buku Sean Covey iaitu The 7 habits highly effective teenagers. ‘Be proactive!’ merupakan habit pertama yang perlu diterapkan dalam diri.
0 ulasan:
Post a Comment