RSS
Facebook
Twitter

4/30/2010

Madah je....


Pegangan kita

Al-Quran dan as-Sunnah, dua sumber utama. Pegangan dalam hidup bagi mereka yang menetapkan kalimah “LAILAHAILLALLAH” sebagai kunci segala perbuatan. Kerana Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh tauladan ummah. Tauladan terbaik sepanjang zaman

Baginda Nabi Muhammad s.a.w

Usia muda baginda sentiasa sibuk biarpun di waktu senggang. Mengembala sebagai kerja, mengambil upah berdikari menyara diri. Tidak pernah meminta, biarpun menumpang kasih ayah saudaranya, Abu Talib. Tidak pernah sekalipun menyusahkan sesiapa, biarpun tanpa ayah tanpa ibu, kerna baginda yatim piatu.

Ilmu dan Harta

Ilmu menjadikan kita berharga, tetapi harta menjadikan kita sampah... benarkah? Andai ikhlas
tidak menjadi akar tunjangnya, andai syukur bukan hasil buahnya, andai tawaduk bukan dedaun yang menghiasnya, kedua-duanya, ilmu mahupun harta tetap sampah!

Bahasa

Orang berbudi, kita berbahasa. Bahasa nilai hati. Andai hati tercalit noda, terpancar dari mulut hanya kata keji dan nista. Andai hati terhias mutiara zikrullah, mudah-mudahan Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Masa

Masa itu ibarat pedang. Kita kan terhiris luka, andai tidak mendahuluinya. Andai kita tidak berhati-hati mengatur perancangan untuk berhadapan dengan setiap detik yang mendatang, habislah seluruh tubuh berdarah, ditercarit duri kesal dan sesal. Allah.....

Aku

Aku. No idea, even kat luar sana banyak benda nak dikongsi, just kali ini macam blur-blur nak tulis apa. Hope after this, tak berlaku lagi. Maybe sebab tengah serabut fikir kat mana nak sambung belajar lepas ni. (Sebenarnye bukan apa pun, tapi saje nak penin2 pikir... =P)

Entry lepas ni...?

Tempoh hari, aku kekenyangan mendengar ceramah percuma dari ibuku (walaupun dah selalu. He3) aku tertarik dengan kata-kata beliau (ibuku) yang aku simpulkan dengan satu tajuk yang menarik bagi aku, Evolusi cinta kasihan. Cam best je tajuk dia kan. Nantikanlah apa yang akan aku huraikan dari tajuk tersebut. Ha,ha,ha.... (jangan curik idea aku k)

Why cinta?


No komen.....

Kat rumah buat apa?


Aku duduk-duduk. Buang masa. Baca buku yang melambak lagi tak abis baca. Main fb. Baca onemanga. Baca buku Sean Covey yang dekat sebulan tak hadam lagi. Ahaks! Datang idea, nulis la untuk blog yang gelap nih. Tapi untuk malam ni, blur! Blur! Blur! Tulis je la apa yang lalu kat pale nih.... =(

Kawan-kawan...

To all my friend, dari simpang lima (1-5) hinggalah ke form 6 rendah, dari KUIS (sem1-sem7), kengkawan yang aku kenal dari program-program (tak ingat sbb banyak sangat... konon), yang aku kenal dari ym n blogwalking (walaupun tak kenal secara mendalam) and to anyone yang pernah aku hulurkan salam persahabatan, muslimin mahupun muslimah......

Be Friend 4ever okeh.......... =D


4/29/2010

Kita pemuda, untuk pemuda

Tiada siapa yang tidak mahukan pernikahan, apatah lagi ditengah lautan godaan dan bisikan hedonisme yang dilanda amuk gelora. Sana sini suasana meresahkan jiwa. Dan bagi pemuda, ia bagaikan suntikan bius yang mengasyikkan. Gelekan si wanita dengan aroma si gedik penggoda. Langsung lupa amaran Rasulullah bahawa yang memakai aroma lebihan dari biasa umpama pelacur yang menjual maruah!
Innalillah, menginjak usia, mengejar masa, pemuda semakin resah, kerna ibarat zaman ini zaman kebinatangannya berleluasa. Manakan tidak, hidup manusia bagaikan hidup seekor harimau dominan yang berpaksikan menjaga kawasan dan mencari seberapa banyak harimau betina untuk meneruskan baka. Tapi malang sekali, manusia kini lebih hina dari haiwan-haiwan yang Allah ciptakan.
Mereka mendekati zina. Satu dosa. Mereka melakukan seks rambang. Satu dosa. Mereka membuang anak merata. Satu dosa. Mereka membunuh pula janin dan bayi tak berdosa. Satu dosa. Apa mereka tidak melihat betapa penyesalan seberat gunung yang akan mereka kendong selepas ini?
Orang muda.... darahnya bisa panas serta merta. Kata orang geloranya tidak dapat dikekang dengan sekadar terbuka matanya untuk menjauhi dosa. Ya benar. Tidak dinafikan mengapa baitul muslim juga tumbuh bagai cendawan melata. Ustaz dan ustazah bersungguh-sungguh mencarikan pasangan halal untuk anak muridnya.
Bahkan ada diantara mahasiswa yang bercekang mata demi memastikan rakannya menerima pasangan hidup yang soleh solehah. Walhal dirinya sendiri belum berpunya. Walhal dirinya sendiri dalam gelora.
Melihat sahaja lirikan kelibat muslimah berpurdah, hampir gugur jantungnya. Melihat sahaja muslimah bertudung labuh hingga ke bawah, sudah juling matanya. Bagaimana? Pakaian yang sememangnya sudah menutup aurat masih tetap tidak dapat mengelakkan fitnah. Salah siapa?
Pemuda...pemuda...pemuda.... bagaimana hidup kalian ketika ini? Adakah umpama Yusuf yang sanggup dipenjara demi cintanya kepada Allah? Atau seperti Musa yang sentiasa menjaga maruah biarpun hatinya terdetik untuk si gadis pengembala?
Muslimah, bagaimana kalian pula? Adakah kalian mencontohi Zulaikha yang kabur kerana ketampanan Yusuf? Atau seperti Asiah yang imannya tetap subur ditengah celakanya Fir’aun laknatullah? Atau kalian seperti Sumayyah yang syahid kerana mempertahankan imannya.
Nuh...! Jauh sekali. Kita tidak berhadapan dengan seksaan Fir’aun dan Namrud laknatullah. Kita tidak berdepan dengan pemerintah zalim yang menghalang kalimah Allah seperti zaman Ashabul Kahfi. Kita tidak dikelilingi oleh mata-mata yang sentiasa mengawasi pergerakan kita seperti Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya di tengah jahiliah masyarakat Mekah.
Tetapi kita dikelilingi panahan-panahan hedonisme Yahudi celaka. Kita diselebungi nyanyian dan tarian dari kafir Bollywood sana. Kita dikaburi dengan sinaran harta dan kesenangan dari kafir laknatullah!!!
Panahan-panahan celaka yang berjaya memadamkan semarak api jemaah di Subuh hari. Panahan-panahan kurang ajar yang telah menidurkan pemuda dari bangkit bertahajud di malam hari. Panahan-panahan yang telah menumpaskan pemikiran seorang pemuda yang sepatutnya sedang memegang pedang dan panji Islam di muka bumi ini sambil melaungkan kalimah “LAILAHAILLALLAH!”
YA AYYUHA SYABAB! AINA ANTUM?
WAHAI PEMUDA! DI MANA KAMU?
APAKAH MASIH BERSELINGKUH,
MENARIK SELIMUT DAN BANTAL KEASYIKKAN DUNIA?
APAKAH KALIAN MASIH BERDENGKUR,
MENGECAP MIMPI TARIAN WANITA PENGGODA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, NUN JAUH DI SANA,
PEMUDA PALESTINA BERJUANG MERAIH NYAWA HANYA DENGAN BATU BATA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, NUN DI EROPAH SANA,
MUSLIMAH KITA TERPAKSA BERHADAPAN DENGAN PENJARA, HANYA KERANA TETAP MAHU BERTUDUNG MENJAGA AURATNYA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, DI SINI, DI BUMI KITA BERDIRI,
RAKAN-RAKAN PEMUDA, YANG CELIK MATANYA, YANG MEMPUNYAI KEINGINAN MEMBANTU KALIAN,
TERCATUK TERPANA KERANA BERSENDIRIAN DITENGAH AMUKAN HEDONISME?


Andai kalian tidak mahu membantu, tidak mengapa. Tetapi sebentarlah. Berikan beberapa ketika untuk mendengar apa yang mahu kami katakan. Kami tidak menghina kalian. Kerana kami sayangkan kalian semua. Kita sama-sama pemuda, ada masalah, kita kongsi bersama.
Janganlah dibiarkan, hanya kerana kalian terleka lantas membuat dosa, kalian rasakan tidak ada yang akan duduk bersama, mendengar kekesalan dan rintihan dari kalian. Kami bersedia. Kami bersedia. Kerana kami juga pemuda. Kami juga merasa. Kami merasa setiap kegundahan yang kalian rasakan.
Ayuhlah wahai pemuda. Muslimin, muslimah. Alhamdulillah, kita dicelikkan mata kerana Allah. Jadi, jangan sesekali kita memandang sinis dan hina pada sahabat kita yang telah bergelumang dengan dosa diluar sana. Tiada siapa yang tahu, mungkin kelak, mereka akan bertaubat, lantas menjadi muslimin dan muslimah yang hidupnya hanya mengharapkan redha Allah. Dan mungkin kelak, kita akan terjatuh terduduk bergelumang dalam noda dan dosa, Na’uzubillah... tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang tahu.
Bukalah mata, kerna sinar mentari kan tetap terbit jua. Selagi mana nyawa masih ada, selagi itu keampunan Yang Maha Esa masih segar untuk kita. DIA sedang menunggu kita sahabatku. DIA sedang menunggu kita. DIA sedang menunggu kembalinya hamba kepada penciptanya....

1st Time as Pendidik....



Riuh suara kanak-kanak bermain di dalam kelas. Dari jauh aku mendengarnya. Teringat peringatan pengetua sebentar tadi.

“Ustaz, pelajar-pelajar dalam kelas ustaz nanti kebanyakkannya terkenal nakal. Tapi, biasalah ustaz, budak-budak. Ustaz banyakkan bersabarlah ya,” Ustaz Ariffin, pengetua sekolah rendah agama Hijaz, juga merupakan sahabat baik ayahku.

Setapak demi setapak aku melangkah kelas 5 Abu Bakar. Ya, riuhnya memang dari situ. Kedengaran beberapa pelajar lelaki menjerit-jerit mengganggu pelajar perempuan.

“Aduh... apa aku nak buat ni?” bisik hati kecilku.

Buk! Seorang pelajar melanggar aku. Tanpa kusedari, rupanya aku telah berada dihadapan muka pintu kelas tersebut. Kelas menjadi sunyi. Semua memandang kepadaku.

“Maafkan saya ustaz. Saya tak sengaja.” Pelajar yang melanggarku merintih. Cepat-cepat menuju ke tempat duduknya. Aku masih tercegat di luar. Dan mereka masih memandang kepadaku.

Sesaat, dua saat.... aku tetap tercatuk di situ. Tidak bergerak walau seinci. Tetapi anak mataku telah pun menjelajah hampir setiap wajah anak-anak muridku di situ. Beberapa pelajar lelaki yang membuat bising tadi menyembunyikan wajah mereka dengan buku teks tebal.

Aku melangkah. Buat kali pertama. Pengalaman pertama. Detik pertama. Aku melangkah masuk ke sebuah kelas sebagai seorang pengajar. Seorang pengajar muda yang berwajah garang (kata orang). Tambahan pula dengan tubuhku yang besar. “Pasti gerun,” gurau Ustaz Ariffin ketika rehat tadi.

5 detik. 4 detik. 3 detik. Tetapi aku tetap membisu sambil duduk di atas kerusi guru. Salam yang diberikan kujawab dalam hati. Kelasku seisinya sunyi bagaikan rimba yang dilalui pemangsa.

“Ustaz,” pelajar yang melanggar aku tadi mengangkat tangan dan bangun.

“Maafkan saya ustaz sebab melanggar ustaz tadi,” wajahnya agak cemas. Takut barangkali dengan penampilanku.

Sunyi.

“Ustaz,” seorang lagi pelajar lelaki bangun. Penampilannya agak kemas. “Barangkali ketua kelas,” aku mengagak.

“Maafkan kami ustaz kerana membuat bising. Kami minta maaf sebab buat ustaz marah. Saya selaku ketua kelas minta maaf sesangat pada ustaz,” jelasnya.

Aku tersenyum dalam hati. Segera bangun. Ah... macam mana nak ku redakan ketengangan ni? Rimas!

“Siapa nama kamu?”

“Soleh, Ustaz” gugup.

“Kamu ketua kelas?”

“Ya ustaz.” Pendek dia membalas.

“Kamu, siapa nama kamu?” aku menoleh ke arah pelajar yang mula-mula meminta maaf.

“Err.... Rauf ustaz. Nama saya Rauf.”

“Baik. Rauf. Kenapa kamu meminta maaf kepada ustaz?”

“Aaaa... sebab saya langgar ustaz tadi,” suaranya agak gementar.

Aku tersenyum. Kupandang satu persatu wajah anak murid dihadapanku. Ya, merekalah anak muridku yang pertama. Secara rasminya. Kerana merekalah, merekalah kunci kepada langkah pertamaku dalam dunia sebagai guru.

“Mahukah kamu dengar satu cerita?” aku bertanya.

Beberapa pelajar mengangkat wajah mereka. Sedikit usahaku untuk melonggarkan keadaan. Aku rimas dengan suasana tertekan.

“Cerita apa ustaz?” Soleh bertanya.

“Tentang seorang lelaki yang lembut tutur katanya.”

“Dia digelar dengan nama Luqman al-Hakim. Tutur katanya amat lembut. Biarpun ketika menasihati orang yang lebih muda darinya.”

“Macam mana dia beri nasihat tu ustaz?” seorang pelajar perempuan menunjuk minat.

“Bagus soalan kamu. Luqman al-Hakim, setiap kali dia memberi nasihat, dia akan mulakan dengan ucapan, ‘wahai anakku..’ dan dari gaya percakapannya amat menyenangkan hati.”

Mereka mengangguk.

“Tahukah kamu tentang seorang lelaki yang amat pemaaf?

Mereka menggeleng.

“Dia amat pemurah dalam memberi maaf. Biarpun kepada orang yang sentiasa memaki hamun kepada dia. Menyakiti hatinya.”

“Saya tahu ustaz.” Pelajar lelaki yang duduk dekat dengan tingkap hujung mengangkat tangannya.

“Siapa dia?”

“Nabi Muhammad s.a.w.”

“Pandai, tak sangka anak murid ustaz hari ini semuanya pandai-pandai.”

Dia tersenyum bangga sambil menjeling-jeling rakan disebelahnya.

“Tahu tak, hari ini ustaz sangat berbangga dengan kamu semua. Biarpun hari ini merupakan kali pertama kita bertemu.”

“Kenapa ustaz?”

“Sebab kamu berani bertanggungjawab terhadap kesalahan kamu. Bukan calang-calang orang yang berani mengaku kesalahan mereka sendiri.”

Mereka diam. Ada yang berbisik dengan rakan sebelah. Ada yang menatap wajahku dengan tanda tanya, barangkali.

“Jadi, wahai pelajar-pelajar ustaz yang ustaz sayangi sekalian. Hari ini ustaz nak mencontohi Luqman al-Hakim dan Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Ustaz maafkan kalian semua. Boleh?”

“Boleh.” Jawab mereka serentak. Aku tersenyum.

Bagiku, ini permulaan yang baik. Aku akan cuba sedaya upaya untuk mendekati mereka. Kerana ini adalah kali pertama, maka aku akan buat sehabis usaha. Kerana aku bukan sahaja mahu menjadi pengajar kepada mereka, bahkan aku ingin menjadi pendidik jiwa mereka. Ini hanyalah secebis keringat yang mampu aku taburkan demi generasi muda akan datang.

Wahai anak-anakku, membesarlah kalian dibawah didikanku. Aku akan berusaha untuk menjadi seorang pendidik yang terbaik untuk kamu. Agar kelak, sebagai hadiahnya, kalian membesar menjadi seorang yang sentiasa mengejar redha Allah. Insya Allah. Ustaz doakan untuk kamu semua....


4/19/2010

Benarkah itu tanggungjawab???


Terkebil-kebil mata menatap. Tidak sepatah kata mampu terucap. Senyuman manis, tingkah yang penuh adab. Mengetuk hati, menyapa cinta si penatap. Hati berdegup, kuat berdetap. Bagai kawah yang meluap, dengan lahar dan kepulan asap. Tunggu masa dan waktu untuk meletup, melimpah isi dan segala yang terpedap.
Akhirnya terluah kata cinta, maka suburlah hubungan mesra, “Aku berjanji, antara kita tiada penghalangnya, hanya maut menjadi tembok pemisah kita, biarpun laut sanggup kurenangi, apatah lagi gunung sanggup kudaki, inikan pula hutan belantara lagi kan aku redahi, demi cinta antara kita, demi kamu wahai bidadari, peneman diriku di syurga...”

Amboi, bermadah ye kita. Maka terbuktilah, penulis blog ni, jiwa jiwang dan gila madah berkata. Hahaha....


Teguran berhikmah?
Tiga orang peserta bertemu denganku, mereka teruja untuk berbincang denganku. Masakan tidak, selepas solat Maghrib tadi, aku diamanahkan untuk memberi kuliyah Maghrib. Hajat hati nak bercerita tentang prinsip kepimpinan, akhirnya bertukar menjadi ceramah tentang sirah nabi dan berakhir tentang cinta muda mudi. Eh, macam mana ni??

Mulanya aku agak gusar, macam mana nak tackle hati budak-budak ni. Yelah, biasa sembang dengan member, sebaya atau sekitar umur aku je, tapi bila berhadapan dengan pelajar sekolah menengah, pening, macam mana kita nak bercerita sesuatu yang berat, dengan cara yang ringan dan mudah untuk mereka terima?

Teringat kisah Luqman al-Hakim yang apabila hendak memberi nasihat kepada anak-anaknya, dia akan mulakan, “Ya Bunayya...” “Wahai anakku..” lembut dan penuh berhikmah. Lagi menarik, baru-baru ini aku berkesempatan untuk mendengar siaran ‘Duniaku Buku’ di IKIM.FM.



Ketika itu mereka sedang membedah buku ‘Alexander adalah Iskandar Zulkarnain’ terbitan PTS Sdn Bhd. Penulis buku tersebut berpendapat bahawa Luqman al-Hakim merupakan guru kepada guru Alexander the Great.

Guru Alexander adalah Plato, tokoh Yunani yang hebat. Manakala guru Plato adalah Socrates. Dengan kata lain Luqman al-Hakim adalah Socrates. Kenapa? Hehehe, sila baca buku tersebut untuk mendapatkan hujah penulis.
Berbalik kepada tiga orang yang jumpa aku tadi, mereka tertarik untuk berbincang tentang masalah perasaan. Biasalah, budak-budak muda. Jiwa bergelora (eceh, pandai cakap...).

Seorang pemuda, merasakan dengan penuh tanggungjawab, berkawan dengan muslimah tersebut dengan alasan untuk membimbing si dia. Perasaan suka terbit di sebalik niat yang mulia. Atas alasan, “Segala perkara adalah berdasarkan niat” maka dia tetap mengatakan tidak salah walaupun dibantah oleh rakan-rakannya.

Bagaimana pandangan kita pada definisi hubungan sesama manusia?
Apabila aku meminta pendapatnya mengenai berkawan rapat dengan kawan-kawan sama jenis dengannya (lelaki), dia kata dia takut dikatakan sukakan lelaki atau nama lainnya ‘gay’ (maaf).

Allah... sedar tak sedar, di sini terletaknya tugas kita para pendakwah, membetulkan persepsi mereka mengenai definisi hubungan sesama manusia. Hubungan antara kita bukan sekadar pada hubungan seks semata, bahkan dalam Islam telah meletakkan banyak disiplin mengenai perkara ini.

Ada yang meletakkan perkataan tanggungjawab sebagai alasan. Nampaknya, kita telah mempergunakan rasa itu dengan sewenang-wenangnya. Benarlah, syaitan takkan terus menyuruh kita membuat jahat, tetapi dia akan menggoda agar kita merasakan yang jahat itu cantik dan baik. Na’uzubillah...

Kalau benar kita rasa bertanggungjawab, kenapa tidak kita luaskan skopnya pada orang sekitar kita dan tidak tertumpu hanya pada dia. Andai kita nak mendidik si dia menjadi soleh atau solehah, sepatutnya kita perlu sedar, dengan merasakan tanggungjawab pada orang sekitar, sebenarnya ia juga merupakan cara yang baik untuk mendidik si dia menjadi soleh dan solehah.

Bagaimana?

Kerana dengan tindakan kita itu, kita telah berusaha untuk menyediakan untuk si dia bi’ah kehidupan yang soleh solehah. Bahkan untuk diri kita juga. Jadi, wahai mereka yang telah wujud rasa kebertanggungjawaban itu, luaskan skop perasaan anda itu. Kerana, apabila kita duduk berdua, syaitanlah yang menjadi ketiga. Dan apabila kita dalam jemaah (masyarakat), maka Insya Allah kita terkeluar dari fitnah.



Ibarat kata pepatah, “Andai seekor kambing keluar dari kawanannya, maka mudahlah ia diterkam serigala. Begitulah ibarat mereka yang tidak bersama-sama ummah. Akan mudah tergoda dan terpedaya.”

Wahai pemuda, jadikanlah Nabi Yusuf sebagai inspirasi dan motivasi kita untuk berhadapan dengan dunia yang penuh cabaran dan dugaan. Siapalah kita nak dibandingkan dengan baginda a.s..

Baginda hensem, tegap dan bijaksana. Tetapi baginda tabah dan ikhlas meletakkan imannya sebagai driver kehidupannya. Jadikan rintihan baginda a.s. sebagai kekuatan kita...

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa Yang perempuan-perempuan itu ajak Aku kepadaNya. dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-orang Yang tidak mengamalkan ilmunya.”

Bagaimana kita? Apakah kita mampu mencontohi baginda nabi Yusuf a.s.?

“Wahai sahabat, aku mengajak diriku dan dirimu, pandanglah cinta dengan pandangan tanggungjawab. Dan ingatlah, andai benar kita rasa bertanggungjawab terhadap cinta, maka ingatlah tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa. Kerana hanya kepada DIA, cinta utama dan segalanya.... Allahuakbar!”


4/14/2010

Be Proactive!

Buku yang menarik untuk tatapan semua...


“Tak guna! Siap kau aku kerjakan!” Rahim mengetap bibirnya menahan marah.

Dadanya berombak menahan ledakan lahar kemarahan. Lengan bajunya disisih ke atas. Bingkas dia bangun membuka langkah sambil menggenggam sebuku tumbukan.

Tiba-tiba langkahnya terhenti. Tangannya dicapai seseorang. Niat amarahnya menjadi mandul dan tumpul. Wajahnya masih menahan geram ketika menoleh kepada empunya tangan yang menahan.

“Kenapa kau tahan aku?” dia mencengil.

“Kau nak ke mana?” ujarnya lembut sambil menarik Rahim untuk duduk.

“Kau tak dengar ke? Si Muka toya tu kutuk kau macam tu. Kurang ajar betul.”

Dia menghirup tenang teh o panas yang terhidang. Slow motion. Bagai sedang menikmati tiupan angin yang lembut menghembus.

“He..” dia tersengih.

Mata Rahim terbeliak melihat reaksi rakannya itu. “Macam mana kau boleh relaks je?”

“Heish, nak buat macam mana. Dah dia nak kata macam tu.” Dia menghirup lagi teh o manis kedai Pak Tam. Ahh...menyegarkan.

Rahim menggeleng kepala. Macam ni punya orang pun ada ke?

Be proactive!

Wujudkah manusia seperti itu? Dikutuk dan dihina dengan begitu teruk, tetapi reaksinya, bagaikan lalang dipukul angin, tenang meliuk-liuk mengikut alur angin yang bertiup. Hatta api pun tak dapat nak menyala dengan reaksi seperti itu apatah lagi amarah yang membara. Tercengang tak tahu nak ke mana.

Manusia yang proaktif adalah manusia yang relaks dan sempoi hidupnya. Tidak resah dengan perkara yang tidak dapat dikawalnya, tetapi sentiasa kreatif dan positif berhadapan dengan perkara yang berada di dalam tangannya.

Sean Covey menyatakan dalam bukunya ‘The 7 habits of highly effective teenagers’, perkara yang bukan dalam kawalan kita adalah perkara yang tidak dapat kita ubah walau macam mana sekalipun yang kita fikirkan.

Sebagai contoh, beliau telah berkongsi cerita mengenai seorang remaja perempuan bernama Laura. Seminggu sebelum hari pertandingan netball pasukannya, dia mendapat berita bahawa emak kepada salah seorang pemain lawannya telah meremehkan teknik permainannya. Laura menjadi tersangat marah dan telah menghabiskan masanya dengan merungut.

Ketika hari pertandingan tiba, dia telah mempamerkan prestasi permainan yang buruk dan menghabiskan masanya dibangku simpanan. Akhirnya pasukannya kalah.

Sean Covey berkata:

“She was so focused on something she couldn’t control (what was said about her) that she lost control of the only thing she could, herself.”
Open your eyes!

Dunia ini tidak tamat andai anda dikatakan teruk dan buruk. Dunia tidak kiamat hanya kerana anda gagal dalam peperiksaan. Masa depan anda tidak hancur hanya kerana cinta yang didirikan lebur. Itu bukan titik nokhtah perjuangan hidup anda!

Kita tidak dapat menutup mulut orang yang mahu mengata, tetapi kita dapat menutup mulut mereka hanya dengan membuktikan, kita bukan seperti apa yang mereka kata.

Mengapa perlu membazir masa dan tenaga untuk bertelingkah, bergaduh dan bertegang urat hanya kerana perkara yang tidak dapat kita ubah? Mengapa tidak kita kerahkan tenaga dan masa untuk perkara yang boleh kita ubah untuk menjadikan masa depan kita lebih cerah?

Bukalah matamu! Nokhtah kehidupan tidak akan muncul melainkan kau sendiri yang timbulkan. Segalanya terletak dalam dirimu. Sejauh mana kau melihat persekitaranmu, sejauh itu juga kau mencorak kehidupan dirimu.

Bak kata pepatah:

“Bagaimana cara anda melihat dunia, begitulah caranya anda menikmatinya.”



P.D.C. (Pesanan dalam catatan): Sumber rujukan adalah daripada buku Sean Covey iaitu The 7 habits highly effective teenagers.Be proactive!’ merupakan habit pertama yang perlu diterapkan dalam diri.


4/13/2010

Antara Kita dan Mereka



Teringat dulu ketika berada di alam sekolah menengah. Perjalanan pulang dari asrama ke rumah yang penuh dengan kenangan indah. Makan burger ramai-ramai dekat makcik tepi jalan (sampai makcik tu dah kenal kami) masa tunggu bas di perhentian bas Kuala Selangor.
Kadang-kadang duduk sambil bertukar-tukar majalah atau komik atau mengumpat cikgu-cikgu. Huhuhu... Memang menyeronokkan. Itulah kenangan masa zaman muda-muda dulu.
Hari ini, tiada lagi peristiwa seperti itu. Namun, seiring dengan umur yang semakin dewasa, istilah kenangan terindah semakin luas tafsirannya. Masing-masing mempunyai cara dan pendapat mereka untuk menilai.
Kadangkala, sesuatu yang kita rasa teruk, itulah kenangan indah bagi mereka. kadangkala sesuatu yang indah pada kita, tetapi teruk pada mereka. Ya, pandangan manusia, bak kata pepatah, ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’.

Drama Mereka...
'Ambulance Girl'
Kelmarin aku sempat menonton satu filem yang bertajuk ‘Ambulance Girl’ di channel 702 Astro. Tak sengaja tertekan, tapi filem itu amat menarik perhatian. Apa yang aku nak kongsikan adalah bagaimana jalan cerita tersebut yang mengisahkan seorang wanita yang bekerja sebagai ahli medik di balai bomba. Sentiasa sebuk 24 jam.
Kerana kerjayanya ini membuatkan rumah tangga yang dibina hampir 30 tahun mengalami keretakan sehingga sampai peringkat mereka hampir bercerai. Amat menakutkan, bagaimana setelah hampir 30 tahun bersama, tiba-tiba sahaja wujud rasa bosan pada pasangan. Na’uzubillah...
Tetapi yang menarik perhatianku adalah sepanjang cerita tersebut, ia lebih banyak memaparkan cara mereka berhadapan dengan konflik tersebut. Apabila bergaduh, kita akan dapat melihat bagaimana keduanya duduk berhadapan sambil berbincang mengenainya. Atau kadang-kadang masing-masing bertemu dengan orang yang rapat dan berkongsi masalah dengan mereka.
Tiada teriakan dan pekikan ataupun periuk belanga yang berterbangan. Dan apabila konflik semakin ketara, keduanya mengambil keputusan untuk bertemu dengan kaunselor (satu perkara yang aku rasa agak susah untuk kita tengok dalam drama negara kita).

Drama Kita...
Berbeza di negara kita. Aku bukanlah penggemar drama atau filem melayu. Semenjak aku berada di KUIS, zaman drama atau filem melayu telah berlalu dari kotak minatku. Tapi, pada Sabtu lepas, juga secara tak sengaja, aku berkesempatan menonton satu drama cerekarama di TV3. Aku tak tahu apa tajuknya sebab aku tengok, masa tu cerita tersebut dah separuh jalan.
Drama tersebut telah mengetuk kotak persoalan di fikiranku. Bagaimana sebuah cerita yang mahu mengetengahkan pengajaran, lebih banyak memaparkan keburukan?
Yalah, dari awal aku dihidangkan dengan adegan bagaimana cara untuk derhaka pada suami. Dan adegan bagaimana mendapat kesedaran dan keinsafan hanya secebis, itupun di bahagian akhir drama yang hampir sejam lebih.
Aduh, lihat sahaja bagaimana dunia filem dan drama kita semakin mengarut dan penuh dengan khayalan dan fantasi. Bukan realiti! Cerita hantu semakin bertambah, cerita super hero semakin menggila. Tajuk cerita yang semakin entah apa-apa.
Terbaru aku sempat menonton filem ‘Adnan Sempit’ di rumah sepupu aku. Aduh, apa faedah dari cerita ni sebenarnya? Dulu masa cerita Bohsia, aku tak tengok, tapi dengar namanya sahaja membuatkan aku tertanya-tanya, untuk apa kita dedahkan pada masyarakat?

Jangan pilih jalan hitam?
Aku pernah terdengar, melalui cerita tersebut, maka orang kita akan dapat mengelakkan dari hidup seperti Bohsia!
Bak kata Baba Ali dalam slot ‘Ummah Film’nye, “JOKE!”
Allah.... mengapa singkat pemikirannya? Kan dalam Islam ada konsep hikmah dan Mau’izatul Hasanah. Contoh terbaik untuk diikuti. Bukan contoh terburuk untuk dijauhi. Cara terindah untuk memberi, bukan contoh keji untuk dikongsi.
Berdakwah dengan cerita-cerita yang berkaitan dengan para sahabat sebagai contoh. Dengan kekreatifan yang ada, gubah cerita mereka (para sahabat) untuk sesuai dengan situasi masyarakat kita.

Bagaimana kita?
Ini hanyalah secebis pendapat yang aku nak kongsikan. Mungkin dikalangan pembaca ada yang bekerja dalam bidang perfileman, atau mungkin student yang belajar dari dunia tersebut. Lakukan perubahan. Tak salah untuk bersuka ria kerana itu fitrah. Tetapi bersuka rialah kerana Allah, dalam lingkungan disiplin agama.
Siapa lagi nak ubah masyarakat kalau bukan kita. Tapi ingat! Tugas ini walaupun berkaitan dengan dunia perfileman, tapi tugas untuk menjernihkan pemikiran juga terletak pada bahu kita, walaupun apapun bidang kita. Seperti yang aku kata, masing-masing ada cara untuk melihat, jadikan itu kelebihan untuk kita mempelbagaikan lagi jalan dakwah di negara kita. Wallahu’alam...


P.D.C. : huhuhu, sekarang ni, kalau aku jumpa kawan-kawan aku yang tengok cerita hantu, aku akan cakap macam ni, “Lah, awat tak tengok waktu malam, baru Aqidah boleh goyah. Yela, takut pada benda selain Allah....”


4/06/2010

Palitan rindu dicelah sesalnya kalbu


Hingar-bingar suara anak-anak taman membaca al-Quran dan Iqra’ memenuhi setiap sudut ruang tamu rumahku. Buku berkulit coklat tulisan Ustaz Hasrizal yang terbaru aku letakkan ke tepi. Tiba masanya untuk aku membantu ibu dan ayahku berbakti. Kata ibuku, “Tiada apa akan dapat ibu bawa sebagai bekalan melainkan dengan mengajar al-Quran.”

Namun saat aku mengajar mereka, jiwaku melayang kepada 3 anak muridku yang berada jauh di Bangi. Bagaimana keadaan mereka? Apakah mereka masih mengaji? Aku kira hampir sebulan juga aku tinggalkan mereka. Sebaik tamat sesi pengajianku di KUIS, aku sempat mengajar mereka buat beberapa minggu sebelum aku mengemas barang balik ke Klang.

Aduh... terasa gundah sekali. Teringin sahaja aku mengutip kunci kereta di laci dan terus memandu ke sana. Kasihan mereka. “Maafkan ‘Ammi, Syakirah, Shahir, Syafiqah...”


Secangkir Teh Pengubat Letih

Begitulah judul buku terbaru tulisan Ustaz Hasrizal. Buku tebal berkulit coklat gelap menggeletek hatiku untuk membelinya ketika pesta buku tempoh hari. Namun disebabkan banyak kerja yang tertangguh serta godaan buku lain yang aku beli membuatkan aku tidak dapat meluangkan masaku untuknya.

Alhamdulillah, semenjak semalam, hatiku melekat pada buku ini tanpa dapat diubah lagi. Biarpun buku-buku rujukan yang berkaitan dengan kajian tesisku bagaikan menari-nari di meja tulis, tapi... mana mungkin hati ini mampu menduakan buku Saiful Islam yang terbaru. Huhuhu....

Setakat ini, hanya tinggal lagi 3 atau 4 episod sahaja lagi yang belum aku baca. Buku yang mencatat rentetan pengembaraan Ustaz Hasrizal ke bumi khilafah, Turki. Aku hanya mampu termenung sambil membayangkan setiap kisah perjalanan yang diceritakan olehnya. Subhanallah.... bilakah aku akan dapat mencontohi beliau?

Jiwa yang membara...


Kadangkala tidak aku nafikan, ada ketika jiwaku memberontak apabila berhadapan dengan sesi kelas kehidupan. Hidup yang relaks dan santai. Senang dan riang, tiada ancaman dan dugaan. Pagi bangun tidur, makan, petang pun sama, malam sedikit berbeza. Sebab tv dan buku menjadi sebahagian daripada rencana.

Tetapi masih lagi jiwaku menjerit minta diisi. Membaca kisah pengembaraan Ustaz Hasrizal membuat aku semakin terpana. Yelah, saban hari duduk kat rumah tak buat apa-apa. Kerja? Belum masanya.... Buku? Bukan selalu pun baca....

Heh, kekadang aku tertanya-tanya, “Di manakah Muhammad Syafiq bin Mohd Shah yang lama?” Bukan menyesal ataupun mengeluh, tetapi aku nak muhasabah diri.

Kalau dulu aku adalah diantara mereka yang gile dengan aktiviti kolej. Pantang ada masa, terbitlah berjuta idea untuk aku realitikan dalam kehidupan kampus. Tetapi sekarang? Aku hanyalah pemuda gebu, ideanya tepu, tumpul tidak padu, dan tidak mampu direalitikan pada kehidupan, kerana kurangnya usaha dan keyakinan dalam diri....

Innalillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un.....

Masih mencari titik temu, masih mencari jalan penentu. Aku mahu kembali seperti dulu. Bahkan lebih baik dari itu.


Tesis?

buku rujukan yang bersepah...

Menyebut tentang tesis, perjalanannya masih jauh. Biarpun bab dua hampir selesai, dan bab tiga akan menyusul (Insya Allah..) aku masih lagi mencari bahan rujukan tambahan untuk dimuatkan.

Tajuk tesis aku, “Kajian hadis kelebihan Abu Bakr dalam bab Fadail sahabat kitab sahih al-Bukhari.” Rujukan utama yang aku pakai pastilah Fathul Bari, dan kitab bantuannya adalah Umdah al-Qari.

Jadi kalau ada sahabat-sahabat yang dapat membantu, amat aku alu-alukan. Lagi-lagi bab biografi Abu Bakr al-Siddiq yang membuatkan aku terpaksa membaca dan menterjemah kitab-kitab sejarah dari kitab-kitab arab. Allah....

Tapi bagus juga, sebab sekurang-kurangnya kefahaman aku terhadap bahasa tersebut semakin bertambah. Alhamdulillah....


“Semoga Allah memberi kemudahan kepada kita semua dalam berhadapan realiti kehidupan... Amin~”


4/03/2010

Satu Kejayaan



Berjaya, apa ertinya kejayaan?

Apa pendapat kalian? Dari sudut manakah kalian pandang? Siapakah yang dimaksudkan orang yang telah berjaya? Dan bagaimana caranya untuk kita semua turut serta bersama dengan mereka?
Ada tak tips-tips untuk kami berjaya? Atau mungkin ada cara-cara singkat untuk kami menggapainya?
Err... apakah cara hidup kami ketika ini adalah cara hidup mereka yang akan menemui kegagalan kelak nanti? Kami tak mahu!!!
Jadi apa itu kejayaan?
Siapakah yang berjaya?
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman”
[al-Mukminun: 1]
“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang Yang memakmurkan Masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”
[At-Taubah: 20]
“...dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu (hari Kiamat) dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya, dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)"
[al-Ghafir: 9]
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh kemenangan.”
[an-Naba’: 31]
Erti kejayaan...
“Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Demikian itulah kejayaan yang agung.”
[Yunus: 64]
“Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.”
[as-Saffat: 60]
Bagaimana untuk mendapat kejayaan?
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu), dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara solatnya...
[al-Mukminun: 1-9]
Peringatan kepada mereka yang mahu berjaya!
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?”
[al-Baqarah: 214]
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”
[al-Ankabut: 2]
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
[Ali Imran: 102]

Kepada yang telah tersilap langkah...
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[az-Zumar: 53]
Sesungguhnya DIA....
“Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Penyayang.”
[al-Baqarah: 37, 54, 128, 160]
Peringatan kepada sesiapa yang mahu memikirkannya...
“Ingatlah akan hari (Qiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): ‘Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu’.
Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.
“Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan Dia kepadamu (Wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.
[Ali Imran: 106-108]