Awan hitam yang berarak, membawa seribu petanda, entahkan sedih, entahkan gembira, tapi jelas ia membawa satu makna, membuktikan kepada kita yang ‘DIA’ Maha Berkuasa. Namun kerana ledakan keinginan melihat mentari cemerlang menyinar berpanjangan, tetapi awan hitam bersenandung datang menutupi sinar mentari, membuatkan manusia terpinga-pinga, melihat awan hitam mencurahkan isinya, rintikan hujan yang berleluasa lebatnya....
Ada yang menilainya sebagai sebuah kenikmatan, tak kurang juga yang menganggapnya satu penderitaan. Namun semuanya terpulang kepada kecetekan ilmu dan keteguhan iman, berhadapan depan setiap cabaran yang datang. Jelas semuanya membuktikan kebijaksanaan ‘Dia’ yang Maha Merancang. Bukankah dia pernah berkata : “Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.”
Surah al-Ankabut : 2-3
Ada masa manusia itu rasa, yang dia mampu berhadapan dengan ujian yang kunjung tiba, berbekalkan segunung ilmu yang dirasakan cukup untuk dijadikan sebagai benteng pertahanan, tapi dia terlupa, benteng pertahanan itukan rapuh, andai tidak disadur dengan besi keimanan. Tapi tidak bermakna dia boleh berlepas tangan, tidak mencari ilmu, hanya menumpukan kepada soal keimanan.
Hahaha.... Mana mungkin ini berlaku, untuk mengetahui iman, bukan hanya perlu menanti ia datang bergolek dan melayang, tapi perlu dicari, diselusuri definisi iman itu sendiri, kekadang ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, menjelajah ke seluruh negeri untuk mencari apa itu iman.... dengan kata lain, ilmu itu amat diperlukan.
Ilmu menjadi kekuatan dalam mengecapi kemanisan iman, tanpa ilmu, tiada maknalah hidup di dunia. Tanpa iman, manusia itu umpama seorang buta, walaupun kedua matanya celik memerhati segalanya.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, daripada Anas bin Malik : “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.”
(riwayat Bukhari & Muslim)
Terasa bagaikan diri ini tidak berguna, walaupun telah aku ketahui yang ku lakukan ini suatu kesalahan, tapi kerana lazatnya nikmat dunia, ku pejamkan mata, ku lupakan dosa, dan akhirnya aku juga yang menyesal, tapi segalanya tidak berguna. Kerana, iakan berulang kembali, kerana kelazatan dosa itu, amat mengasyikkan. Aduhai diri, tiada guna kau banyak membaca buku-buku agama mendalami ilmu yang berbagai, berceramah dan bertazkirah ke serata dunia, andai dosa sekecil ini tak mampu kau hindari.
Bukankah kau tahu, bahawa ilmu yang tidak diamalkan adalah sia-sia, umpama petani yang menanam pepohon yang tidak berbuah... sedarlah... tidak bermakna kau berilmu dan kau tahu, kau boleh terlepas daripada hisab, lalu kau sangka kau boleh menjawab setiap persoalan Munkar dan Nakir kelak. Innalillah... bersedihlah pada dirimu... kasihanilah dirimu ini... hinalah dirimu ini....
“Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.”
Surah as-Saff : 2-3
Ingatlah wahai engkau yang pelupa, Dengarlah dan tampal peringatan ini dalam hatimu, agar kau tidak mengulangi lagi kesalahanmu itu. Celaka kau andai kau terus leka dengan nikmat dunia. Berusahalah, dan teruskan berdoa, Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lahi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat.
P.D.C : Aku bersedih kerana diriku yang sentiasa leka. Aku berkecewa, kerana diri ku yang alpa. Duhai tuhan, berikan kekuatan, keteguhan iman kepada hamba-Mu ini.
0 ulasan:
Post a Comment