RSS
Facebook
Twitter

4/06/2009

Itulah Fitrah





Alangkah bahagianya menjadi kanak-kanak, seronok menikmati hidup,
Tak perlu fikirkan masalah disekitarnya, sentiasa bermain dengan riang…
Bila lapar, minta disuap, bila dahaga, disusukan,
Dan bila bosan, bermain semula dengan kawan-kawannya, kekadang pening nak melayan kerenah anak-anak kecil ini.
Tapi, anak kecil inilah yang menyejukkan jiwa, biar kekadang memeningkan kepala, tapi anak kecil inilah pengubat hati yang lara.

Kerana anak-anak kecil ini adalah fitrah.

“Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Oleh itu, terpulanglah kepada kedua ibubapanya sama ada ingin menjadikannya yahudi, nasrani ataupun majusi…”
(riwayat Bukhari & Muslim)

Fitrah itu suatu ketenangan,
Pada fitrah itu ada kedamaian,
Dalam fitrah itu terletak kebahagiaan,
Tapi fitrah,
Kini tidak diendah,
Dipandang rendah, dibuang merata,
Digadai dan disalahguna.
Padahal tanpa fitrah,
Hidup manusia terasa gundah,
Serba tak kena sentiasa resah.
Fitrah adalah sesuatu yang telah ada dalam diri manusia,
bahkan juga pada agama yang kita cinta.

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidaklah sepatutnya ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya.”
Surah ar-Rum : 30

Bukankah Islam itu agama fitrah? Tapi berapa ramai yang terlupa?
Kefitrahan Islam kini kian tercalar, Bukan kerana peng’amal’nya, tapi kerana ‘penganut’nya, Hari ini ramai yang dimulutnya berkata, “aku lakukan ini untuk Islam”, Tapi hakikatnya, “Islam kugunakan untuk melakukan ini” Lalu timbullah, bermacam istilah yang di‘islam’kan.

Bukankah Allah telah berfirman, “Tidaklah sepatutnya ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu.” Tapi kenapa Islam kini dipelbagaikan? Na’uzubillah.... andai cara dakwahnya yang dipelbagaikan supaya bertambah menarik dan berhikmah. Oklah. Bertetapan dengan firman Allah : Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran.”
Surah an-Nahl : 125

Tapi kalau kepelbagaiannya pada usul dakwah itu sendiri, jauh dari yang diajar dalam al-Quran & Sunnah.... Innalillah....

Aduh, pinar mataku, melihat keserabutan pemikiran manusia yang beribu….
Apa mereka tak sedar, masa ‘itu’ kian hampir,
Masih berani bermain dengan waktu, yang menjadi saksi di hari penentu.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.”
Surah al-‘Asr : 1-4

Nah, sudah terbentang di depan mata, betapa ruginya kita andai tidak menghargai masa...
Aduh, ruginya aku, akibat kelalaian aku, sentiasa hidup disembelih masa. Kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memancungnya, dia akan memancung kita, kata Saidina Ali.

Haa... yang mencatat ni pun kena ingat, masa tu emas, terlepas rugi. Masa lapang untuk berehat biar diisi dengan sesuatu, sambil rehat sambil menghayati nikmat pemberi nikmat, muhasabah supaya diberi kekuatan dalam diri untuk mencari bekalan menuju ke destinasi kelak...
Sekadar mengingat dan mencatat.

~Segalanya sekadar sebuah perkongsian~



P.D.C : Jangan bercita-cita untuk kembali ke masa dahulu, tapi bercita-citalah untuk merealisasikan apa yang kita cita-citakan satu ketika dahulu.... Angan-angan jika ditambah dengan usaha dan ketekunan, maka terealisasilah impian, yang dulunya hanyalah satu angan-angan.....

0 ulasan: