RSS
Facebook
Twitter

4/30/2009

Ya Rasulullah......


Di sempadan kota cahaya itu, aku terjaga dari tidur yang lena. Entah kenapa, dalam kelam malam itu, terbayang dimataku satu persatu kisah sejarah yang aku tahu tentang kota itu. Kota bersejarah, di dalamnya tercalit seribu satu sejarah yang menceritakan kehebatan dan keagungan empayar besar Islam di bawah pimpinan baginda.

Kelam malam itu, kau tetap berjaga dari tidurmu, dengan cermat kau ke rumah sahabat karibmu, menjemput sahabatmu itu untuk berhijrah bersama, padahal ketika itu, sepupumu telah bersiap siaga menggantikan tempat tidurmu di rumah. Dengan senyap, kau dan sahabatmu keluar dari kota yang amat bermakna itu.

Takdir telah menentukan agar kau bersembunyi seketika di gua kecil itu. Menitits air mata sahabatmu pabila dirinya disengat binatang berbisa. Lalu terpamer mukjizat kebenaran darimu pabila sembuh luka itu dengan seketika. Dan di gua kecil itu, kau tutur sebuah kata-kata yang indah, menenangkan hati sahabatmu yang gundah,

“Janganlah kau bimbang dan bersedih, Sesungguhnya Allah bersama dengan kita”.

“Dia telah datang! Dia telah datang!” sahutan kegembiraan penduduk kota bercahaya menyambut dirimu. Betapa gembiranya mereka, kerna seorang lelaki utusan Illahi akan tinggal bersama dengan mereka. Bermula dari saat itu, kau memulakan langkah kaki mulia mu itu, melakar sejarah dan kenangan indah untuk tatapan ummat mu. Sehingga ke hari ini, setiap detik perjuanganmu, pengorbananmu menjadi kenangan indah yang terpahat di hati setiap yang mencintai dirimu.



Ya Rasulullah..
Kala kaki ini menjejak ke kota mu
Tidak dapat ku gambar
Perasaan yang wujud di hati ini,
Menitis air mata ini kerna terharu,
Sayu dan gembira
Kerana mengingati dirimu.

Selawat dan salam untukmu
Sentiasa membasahi bibirku
Mata ini tak pernah mengelip,
Tidak lekang memandang
Kegemerlapan cahaya dari bangunan itu,
Indah sekali masjid mu duhai Nabi,
Membuatkan kakiku lemah terkaku...
Air mata syahdu menitis laju.

Ya Allah...
Betapa besar nikmatmu ini,
Jangan kau jauhkan hatiku ini dari mencintai kekasih-Mu ini,
Jadikanlah cintaku kepada diri-Mu dan kekasih-Mu ini
Yang utama daripada cinta kepada diriku sendiri...

Assalamu’alaika Ya Rasulullah,
Assalamu’alaika Ya Habibullah.

Dihadapan maqammu ini,
Aku berteleku syahdu,
Menangis mengenang jasa dan pengorbananmu
Ku sampaikan salam ini buat dirimu
Agar kelak di hari kebangkitan nanti
Kau akan bersaksi
Bahawa aku adalah ummatmu

Ya Rasulullah...
Syafaatkanlah aku....




P.D.C. : Tidak dapat aku kisahkan, bagaimana rasanya perasaan ini pabila diri menjejak kaki ke kota nabi ini... Hanya selawat dan salam sahaja mampu kuungkapkan sepanjang berada di bumi suci ini....

“Ya Allah, berikan aku peluang untuk kembali ke kota bersejarah ini,
Kota Nabi yang mulia, Madinah Yang Bercahaya....”



Pemandangan indah Masjid Nabawi 1 (dari arah perkuburan Baqi')


Pemandangan indah Masjid Nabawi 2 (dari arah pintu masuk)


Pemandangan indah Masjid Nabawi 3 (dari arah sisi pagar perkuburan Baqi')


Rahsia Langit...

Memori kembaraku ke bumi haramain bermula dengan satu perjalanan yang amat mendebarkan. Kerana debaran yang dirasa bukan kerana takutkan bahaya, tetapi kerana betapa indahnya nikmat Allah yang bakal aku terima. Di saat diriku melayang di angkasa, aku terpesona melihat keajaiban kuasa Allah di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa dan Maha Kaya. Melihat langit biru yang indah dan luas ini mengingatkan aku pada kenyataan tuhan Yang Maha Bijaksana ini dalam firmannya :


“Lalu ia menjadikannya tujuh langit, Dalam dua masa; dan ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. dan Kami hiasi langit Yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) Dengan bintang-bintang Yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu Dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui.”

Surah al-Fussilat : 12



Fenomena kejadian langit yang mempunyai 7 lapisan serta fungsinya masing-masing. Alangkah hebatnya Allah Yang Maha Bijaksana, fenomena ini telah diberitahu kepada kita 1400 tahun dahulu, padahal penemuannya masih baru.



“Para saintis telah menemui bahawa atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan, lapisan tersebut berbeza dari sudut fizikal berdasarkan tekanan atmosfera dan kandungan gas.


  • Lapisan Troposfera : Paling hampir kepada permukaan bumi.
  • Lapisan Stratosfera : Lapisan di atas Troposfera.
  • Lapisan Ozonosfera : Di mana penyerapan sinaran ultra ungu berlaku.
  • Lapisan Mesosfera : Lapisan selepas Ozonosfera.
  • Lapisan Termosfera : Lapisan di antara Mesosfera dan Ionosfera.
  • Lapisan Ionosfera : Lapisan yang terdiri dari pada ion-ion.
  • Lapisan Eksosfera : Lapisan yang paling luar yang merentang sejauh 480 km sejauh 960 km.


Setiap lapisan mempunyai fungsi yang khusus, bermula dari fungsi pembentukan hujan sehingga kepada perlindungan daripada ancaman radiasi berbahaya, dan dari memancarkan gelombang radio sehingga menghalang ancaman meteor yang memusnahkan.


Sebagai contoh, lapisan yang paling rendah dipanggil Troposfera. Hujan, salji dan angin hanya terjadi di Troposfera.”


Juga didedahkan kepada kita akan fenomena patulan cahaya yang terhasil dari bebintang yang jauh berjuta kilometer, tapi kelihatan seperti dekat pada pandangan kasar kita di bumi. Subhanallah...


“....dan Kami hiasi langit Yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi Dengan bintang-bintang Yang bersinar cemerlang)...”


Maha Suci Allah yang mememiliki alam ini dan mentadbirnya dengan amat bijak sekali.


“Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Jaatsiyah : 37


Inilah keajaiban mukjizat baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang diwariskan kepada kita dengan penuh keindahan dan ilmu yang tiada tolok bandingannya. Sebagaimana Allah telah bersumpah dengan al-Quran di dalam firmannya :


“Demi Al-Quran Yang mengandungi pelbagai hikmah dan kebenaran Yang tetap kukuh.”

Surah Yasin : 2


Betapa insafnya diri ini, yang masih cetek dalam mentafsir kehebatan illahi, masih banyak lagi rahsia-rahsia yang tersirat di dalam al-Quran yang belum dapat dicungkil lagi oleh diri, tetapi diri ini telah berdiri takbur dan sombong kepada illahi....


“Kami akan memberi perhatian sepenuhnya kepada kamu wahai jin dan manusia!

MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANAKAH KAMU DUSTAKAN?”

Surah ar-Rahman : 31,23



MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANAKAH

KAMU DUSTAKAN?”

Surah ar-Rahman





P.D.C. : Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas, dibandingkan dengan ilmu yang ada pada kita, umpamanya setitik air daripada lautan yang luas. Setitik itulah ilmu kita, namun tetap ada yang takbur dengan ilmu yang setitik itu.... Na’uzubillah.....





Dalam perjalanan ke bumi Haramain



4/25/2009

Kasihnya Bonda...




*Kasih sayangnya bonda

Tidak ada batasnya

Siang malam dijaganya

Dipangku dan ditimangnya

Dengan kasih sayangnya.


Bila di malam hari

Ibu tetap berdoa

Bila kau dewasa nanti

hidupmu akan berjaya

dengan nusa dan bangsa


Oh Tuhanku Yang Maha Kaya

Limpahkanlah kurniamu padanya

Panjangkan umur, murahkan rezkinya

Yang utama sifat jujur dan setianya

Tak terlupa


Oh Tuhanku Yang Maha Kaya

Limpahkanlah kurniamu padanya

Panjangkan umur, murahkan rezkinya

Yang utama sifat jujur dan setianya

Tak tehingga


Ulang *


Bila di malam hari

Ibu tetap berdoa

Bila kau dewasa nanti hidupmu akan berbakti

dengan nusa dan bangsa


Oh Tuhanku Yang Maha Kaya

Limpahkanlah kurniamu padanya

Panjangkan umur, murahkan rezkinya

Yang utama sifat jujur dan setianya

Tak terlupa.




P.D.C. : Lagu yang amat menyentuh hati ini, dinyanyikan oleh Ustaz yang menjadi Mutawwif aku sepanjang trip umrah lalu... Syukran Ustaz Naja, ilmu yang kau curahkan amat bermakna bagiku.


Bonda....



Sekujur tubuh tua yang tidak terdaya, terbaring di katil besi, menanti kehadiran susuk-susuk tubuh yang tidak pernah hadir di kala dia mengharapkannya. Tubuh tua itu hanya mampu menanti dan berdoa, agar mereka datang melihatnya yang sudah tidak bermaya.

Tubuh tua itu dulunya cukup kuat, hebat, memerah peluhnya sepeninggalan suami yang kembali menyahut seruan illahi. Biarpun bersendiri, dia tidak pernah bersungut dan putus asa, kerana hidupnya kini adalah untuk anak-anaknya. Di jaga dan di didik dengan penuh kasih sayang, dia berharp agar kelak, anak-anaknya kan hidup sihat dan ceria, biarlah hidupnya sengsara, perutnya bernyanyi minta diisi, tapi anaknya berlapar jangan sekali.

Kasihnya bonda hingga ke syurga, namun tiada siapa yang tahu, kesibukkan kerja, harta dan keluarga menghambat diri anaknya dari menjenguk tubuh bonda yang semakin tua.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Surah al-Luqman : 14


Duhai bonda, betapa hebatnya pengorbananmu, mengandungkanku, melahirkanku dan menjaga serta mendidikku dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Kau melayan kerenah anak-anakmu dengan kasih, dan senyuman manis mu yang tidak pernah terputus, biarpun lelah dirimu kepenatan mencari rezeki untuk anakmu. tidak pernah kau tunjukkan rasa marah dan bencimu kepada anakmu pabila anakmu ini menyakiti hati, bahkan sentiasa kau mengadu pada Yang Maha Mendengar agar jangan diseksa anakmu itu kerana perbuatannya, sesungguhnya kau telah maafkan anakmu itu selamanya..


Malangnya anak-anakmu duhai bonda, pabila hidup sejahtera, kaya dan raya, jarang sekali menziarahimu, melihat diri bonda yang semakin dimamah usia tua, pabila diminta untuk menjagamu, beribu alasan dikemukakan, alasan kerja dan keluarga menjadi bebanan dan halangan.

Hei anak ibu! Apakah kau tidah tahu malu, dulu tangan tua itulah yang menjaga kau, memberi kau didikan dan tidak sekali akan membiarkan kau kelaparan, tapi kini, pabila ibu tua bersendiri, tidak sedikit pun perhatian kau beri, padahal di waktu kecilmu, andai kau menangis ketakutan, ibu datang memelukmu, menenangkanmu, lalu teresak-esaklah kau dalam kelembutan pelukan bonda.


“Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Surah al-Isra’ : 24


Sekeping Warkah Dari Ibu.....



Dengarkanlah wahai anak ibu,
Di saat diri ini terasa kan kembali menghadap illahi,
Tidak pernah ibu rasa sedih dan marah,
Hanya yang ibu bimbang dan terkilan,
Siapakah lagi yang kan mendoakan untuk diri kalian anak-anak ibu?
Siapakah yang akan mendoakan kebahagiaan anak-anak ibu?
Siapakah yang akan mendoakan agar kamu sentiasa mendapat maghfirah dari Allah?

Anak-anak ibu,
Jangan kamu susah hati,
Ibu sentiasa memaafkan kamu,
Ibu mahu kamu bahagia,
Kerana perut ini dulu mengandungkan mu,
Diri ini yang melahirkan dan menjagamu,
Mana mungkin ibu sanggup melihat anak ibu sengsara
Hidup di dunia, apatah lagi di akhirat,

Kau saksikanlah wahai tuhan Yang Maha Pemurah,
Aku memaafkan dosa anak-anakku,
Jangan kau murka kepada mereka,
Kerana merekalah kebahagiaanku.

Anak-anak ibu,
Selamat tinggal, ibu doakan kamu sentiasa bahagia....
Maafkan ibu kerana tidak dapat bersama dengan anak-anak Ibu,
Ibu sentiasa merindui anak-anak Ibu.






P.D.C. : “Ya Allah, Kau Yang Maha Pengasih, ampunilah Ibuku, kasihanilah Ibuku, seperti mana dia mengasihi sejak dari aku dalam kandungannya lagi, Ya Allah, Kau Yang Maha Penyayang, Sayangilah Ibuku, jangan Kau biarkan dia sengsara, kerna pengorbanannya untukku hanya Kau sahaja yang mampu membalasnya.”

4/12/2009

Apakah akukan kembali?

Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi sebelum aku pergi… Tiada siapa yang tahu betapa hati ini meronta berdebar, melihat sanak saudara berkumpul kali, lain rasanya, membuat aku terkedu, tak mampu berkata. Aku hanya memerhati dan sesekali tersenyum menyambut ramah perbualan mereka.


“Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hatiku pada agamamu. Teguhkan imanku, tetapkan pendirianku, tunjukkanlah aku hidayahmu, agar aku tetap berada di atas jalan yang lurus, jalan mereka yang kau beri nikmat....”


Aku tidak boleh menipu diriku sendiri, kelihatan aku tabah, namun tiada siapa yang tahu bahawa ingin sahaja air mata ini mengalir, lantaran agungnya nikmat tuhan, Yang Maha Memberi.


“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepada nikmatKu....”

Surah al-Maidah : 3


Maha Suci Allah yang memberi kita nikmat yang tidak terbatas banyaknya. Padahal dia telah berkata bahawa nikmat yang kita lihat banyak ini tidak hanya sedikit dibandingkan dengan nikmat di akhirat kelak.


“Padahal, kenikmatan kehidupan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.”

Surah at-Taubah : 38


“Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”

Surah al-Baqarah : 267


“Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta.”

Surah al-Ankabut : 6


Betapa hinanya hamba Allah Yang Leka ini, seringkali aku terlupa segala yang ada hanyalah pinjaman semata. Betapa Maha Hebatnya Allah, sekali lagi aku di beri nikmat yang hebat, walau aku sering terlupakan Dia. Subhanallah...



“Aku sahut panggilan-Mu Ya Allah! Aku sahut, tiada sekutu bagi-Mu Ya Allah, Kami sahut! Segala puji. Nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu Ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu.”


Ya Allah, segala puji bagi Mu Ya Allah, memberi peluang kepada hamba Mu yang lemah ini untuk menjejak kaki ke rumah Mu yang suci. Biarpun aku tidak tahu apakah aku akan kembali selepas. Sesungguhnya Kau adalah sebaik-baik perancang, Kaulah Yang Maha Bijaksana.





P.D.C : Kepada semua sahabat yang mengenali diri ini, ku pohon ampun dan maaf segala salah dan silap yang telah aku lakukan kepada kamu semua. Semoga Allah meredhai kalian semua. Andai diri ini tidak kembali lagi, tuntutlah kepada waris ku yang terdekat, andai ada hutang dan perkara yang aku terlupa. Siapa tahu, segalanya di dalam genggaman Dia Yang Maha Berkuasa. Syukran Jazilan....


4/11/2009

Dia Maha Penyayang



Tertegun aku, kini dihadapanku segala bukti bahawa Dia amat mengasihi aku, menyayangi. Kasih sayang Nya tiada berbelah lagi… betapa hebatnya kasih sayangnya kepadaku, biarpun aku sentiasa terlupa dan leka untuk mengingati Nya, tapi dia sentiasa memerhatiku dengan penuh kasih sayang. Tiada gurisan dendam mahupun kemarahan, tapi segalanya adalah kasih sayang dan lafaz cinta dan kasihnya Dia kepada ku…. Betapa aku tidak tahu menghargai kewujudan Nya… zalimnya aku pada Dia… kejamnya aku…

“…Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu…
Surah al-Baqarah : 187

Dia telah tahu, Dia dah tahu yang aku akan melupakannya, yang aku akan mengendahkan Nya, tapi dia tetap seperti itu. Tidak pernah membenciku, tidak pernah membalas perbuatanku dengan menzalimiku, padahal dia mampu. Dia MAMPU! Sekelip mata dia mampu menghancurkan aku.

Tetapi mengapa? Dia tidak melakukan seperti itu. Bahkan dia amat mengasihi ku, menyayangiku. Pabila aku terus leka, dia ingatkan ku, memberi teguran kepadaku, bila aku terus lena dengan asyik dunia, dia segera sedarkan ku ke alam nyata...

Dia sentiasa ada bersamaku, setiap masa, setiap waktu, di mana sahaja aku berada, dan apa jua keadaanku, dia pasti ada disampingku...

Tatkala aku gembira, Kau katakan kepada ku : “Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”
Surah at-Taubah : 111

Kau janjikan aku dengan suatu janji yang menambahkan kegembiraan ku lagi : “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka bergembira dalam taman syuraga.”
Surah ar-Rum : 15

Pabila aku bersedih atau ditimpa masalah, kau katakan pada diriku. Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.”
Surah al-Baqarah : 153

Dan Kau ingatkan aku dengan doa Ya’qub kepada mu, “Ya’qub menjawab : ‘Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.”
Surah Yusuf : 86

Dan kemudian kau gembirakan hatiku dengan khabar-khabar yang gembira, “...., maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
Surah al-Baqarah : 38

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Surah an-Nur : 52

Maha Suci Engkau Ya Allah, Engkau Maha Hebat, Maha Bijaksana dan Maha Perkasa,

“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Imran : 126

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami sembah, dan hanya kepada Engkulah kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
Surah al-Fatihah : 1-7




P.D.C : Segala puji bagi Allah, tetapkan hatiku agar aku selalu bersyukur kepada-Mu. Hujanilah aku dengan maghfirah-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.